Selasa, 12 Disember 2017 | 5:50pm
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pinda akta bantu mangsa syarikat perumahan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), awal tahun 2019.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata pindaan itu bagi membolehkan pihaknya memperluaskan skop fungsi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah bagi membantu mangsa yang ditipu syarikat perumahan selepas memberi wang deposit.

Ketika ini, katanya, pindaan itu berada dalam peringkat kajian untuk memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kita nak perluaskan skopnya (akta berkenaan). Kita mahu bantu mangsa, mereka yang berikan deposit dan wang mereka lesap akibat ditipu syarikat perumahan.

"Kita harap dalam setahun ini boleh gubal akta berkenaan, jangkaan awal 2019," katanya pada sidang media di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan.

Sementara itu, Noh berkata KPKT menawarkan tiga alternatif utama bagi membantu mangsa penipuan syarikat perumahan, DBI Properties, untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, tiga bantuan itu ialah Skim Pinjaman Perumahan (SPP), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit).

"Kementerian ada lancarkan beberapa skim perumahan, bagi SPP, iaitu mangsa perlu ada tanah. Kita akan bina sebuah rumah bernilai RM60,000, mangsa boleh bayar secara ansuran kepada kerajaan, dalam tempoh 15 tahun ke 20 tahun.

"PPR juga guna konsep sewa beli, namun ia membabitkan rumah sedia ada. Sebagai contoh, PPR di Kepong berharga RM200,000, namun kita tawarkan hanya RM35,000, boleh bayar secara ansuran.

"Yang ketiga, kita sediakan geran RM30,000 menerusi MyDeposit. Semua skim ditawarkan ada syaratnya, namun ia dilonggarkan khas untuk mangsa penipuan syarikat perumahan terbabit," katanya.

Berita Harian X