Rabu, 13 Disember 2017 | 4:19pm
ADIK mangsa, Mohd Fajrul Islam Dzulkirnain, 21, Kampung Mengkibol, Kluang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Nur Ghaziyah Athirah dipindah ke HSA

KLUANG: Mangsa yang terselamat dalam nahas yang mengorbankan lima sekeluarga di Segamat, semalam, Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.

Datuk mangsa, Dzulkrinain Yusoh, 55, berkata cucunya kini sudah dipindahkan dari Hospital Segamat ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

"Saya diberitahu doktor yang merawat, ada berlaku pendarahan pada bahagian otak selain memerlukan pembedahan dilakukan pada luka dalaman di bahagian perut.

"Daripada maklumat hospital nak kata 50-50 tidak juga, bergantung kepada kekuatannya (Nur Ghaziyah Athirah) kerana beliau hanya satu-satu zuriat anak saya (cucu) yang masih hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian lima sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 176 persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat, semalam.

Dzulkrinain berkata, beliau juga sudah berbincang dengan besannya dan bersetuju untuk pihak keluarganya menjaga dan membesarkan Nur Ghaziyah Athirah.

"Apa pun kita doakan agar cucu saya selamat menjalani rawatan dan dapat pulih seperti sebelum ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang, ke Kluang dipercayai terbabas dan merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Jenazah Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan isteri, Allahyarhamah Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga anaknya, Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4; dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, selamat dikebumikan pada jam 2.35 petang tadi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X