Khamis, 14 Disember 2017 | 6:15pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto ihsan Forum Transformasi Global
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto ihsan Forum Transformasi Global

Rahman Dahlan lantik peguam

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, melantik peguam, Datuk M Reza Hassan dari Tetuan Raja Riza & Associates untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya kontrak pelaksanaan Ekspo Negaraku 2017 diberi kepada abangnya, Noor Raslan Md Dahlan.

Abdul Rahman dalam kenyataannya hari ini berkata, pelantikan peguam itu bagi menolak dakwaan dan fitnah dilemparkan Rafizi selaku Ahli Parlimen Pandan yang dibuat pada sidang media, Isnin lalu.

"Dalam sidang medianya Isnin lalu, Rafizi menuduh saya melantik abang saya sebagai kontraktor utama Ekspo Negaraku.

"Pada majlis sama, Rafizi dengan yakin menegaskan dia melakukan penyelidikan dan siasatan menyeluruh membuktikan Noor Raslan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd adalah abang saya.

"Oleh itu, saya dituduh mengamalkan nepotisme dalam melaksanakan tugas menteri dengan melantik ahli keluarga untuk mendapat manfaat daripada Ekspo Negaraku.

"Seperti kenyataan Rafizi terdahulu, ini satu lagi pembohongan terang yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

"Beliau begitu yakin dan bersemangat ketika membuat dakwaan ini. Selepas mengulangi tuduhan sebanyak sembilan kali, Rafizi pasti mempercayai pembohongan sendiri," katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata bahasa tubuh, sikap dan intonasi Rafizi ketika sidang media itu dirancang bagi meyakinkan orang ramai.

Justeru, beliau memberi reaksi segera pada hari sama kerana sesiapa saja boleh diyakinkan dengan mudah oleh pembohongan itu.

"Saya mempunyai bukti Rafizi menghubungi Noor Raslan sebaik selesai sidang medianya menerusi mesej Facebook dan bertanya sama ada Noor Raslan adalah abang saya.

"Ini menunjukkan Rafizi tidak pasti mengenai dakwaan itu, namun demi cita-cita politiknya, dia terus memfitnah saya.

"Saya juga terkilan Rafizi menuduh pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) membocorkan maklumat dalam cubaan mencetuskan perselisihan antara saya dan pegawai berkenaan," katanya.

Berita Harian X