Khamis, 14 Disember 2017 | 7:24pm
DATUK Azih Muda. - Foto Khairull Azry Bidin

CUEPACS, MTUC sambut baik penambaikan skim KWSP

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik penambahbaikan skim dan polisi yang diumumkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hari ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata antara yang dilihat memberi manfaat kepada ahlinya adalah pelantikan Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai pemegang amanah terhadap pencarum dan perkhidmatan nasihat persaraan yang diberikan secara percuma.

"Pelantikan ARB secara pilihan sebagai penama, pentadbir atau pemegang amanah itu dilihat mampu membantu menyelesaikan konflik keluarga terutamanya hal berkaitan wasiat.

"ARB adalah satu entiti yang dipercayai dan diyakini berkebolehan untuk menguruskan urusan kewangan pencarum.

"Selain itu, memandangkan pengeluaran juga diberikan seawal 55 tahun tanpa ada had maka sebaiknya pencarum menggunakan perkhidmatan nasihat persaraan yang diberikan secara percuma itu. Ini juga bagi mengelakkan kes simpanan hilang akibat ditipu dan sebagainya," katanya ketika dihubungi BH.

Bagaimanapun beliau berpendapat ia tidak adil sekiranya bantuan kematian itu hanya diberikan kepada waris sekiranya ahli meninggal pada umur 60 tahun ke bawah saja.

"Lanjutan itu terlalu pendek, seandainya ahli mempunyai umur yang panjang dan meninggal pada umur 70, saya berpendapat ahli wajar mendapatkan bantuan terbabit kerana perkhidmatan KWSP tetap terus digunapakai oleh ahlinya," katanya.

KWSP mengumumkan penambahbaikan ke atas pembayaran dan pilihan pengeluaran jumlah daripada akaun ahli KWSP berumur 55 tahun dan 60 tahun.

Inisiatif itu antara empat penambahbaikan ke atas skim dan polisi KWSP yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, polisi pengeluaran 55 tahun kepada 60 tahun sejajar dengan pindaan akta persaraan membuatkan pekerja boleh bekerja sehingga usia pencen.

Katanya, polisi itu ia secara tidak langsung membolehkan pekerja terus menikmati faedah dividen wang simpanan pekerja sehingga usia persaraan iaitu 60 tahun selain mengetengahkan pengambilan lebih fleksibel mengikut kesesuaian.

"Ada individu mahu melanjutkan usia kerja ke 60 tahun, maka secara tidak langsung mereka kekal berada dalam konteks simpanan berterusan sehingga tempoh persaraan.

"Selain itu, pengeluaran fleksibel boleh dilakukan untuk 55 tahun itu membolehkan pekerja untuk mengeluarkan duit mengikut keperluan dan kegunaan diperlukan dalam masa setahun dan selebihnya disimpan dalam KWSP.

"Sungguhpun begitu, semua pencarum mesti bijak dalam menentukan keperluan mereka apabila mencapai usia 55 tahun dan sama ada mereka perlu mengeluarkan semua wang dalam simpanan atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan, pula berkata KWSP perlu mewar-warkan mengenai bantuan kematian terbabit kerana masih ramai waris yang tidak maklum.

"Sekiranya ada kematian ahli, pewarisnya wajar dimaklumkan mengenai bantuan kematian sebanyak RM2,500 ini. Kita khuatir mereka teramat memerlukan dan pada akhirnya peruntukan itu tidak digunakan.

"Saya juga berpendapat pelantikan ARB itu dikhuatiri akan menambahkan kekeliruan terhadap pewaris untuk menguruskan kewangan si pencarum yang sudah meninggal dunia. Melainkan perkhidmatan pengurusan ini diberikan secara percuma, kita tidak mahu masalah lain timbul sekiranya mereka melantik ARB dan kemudian dikenakan caj tanpa diberitahu," katanya.

Justeru Shamsudin berkata, pihaknya sangat bersetuju dengan khidmat nasihat persaraan yang diberikan percuma kepada ahli supaya pengurusan wang persaraan mereka ini lebih terurus.

Berita Harian X