Khamis, 14 Disember 2017 | 7:52pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika sidang media Sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Kebangsaan ke 42 di Ibu Pejabat Pemadam . - Foto Raziq Zikry
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika sidang media Sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Kebangsaan ke 42 di Ibu Pejabat Pemadam . - Foto Raziq Zikry

PEMADAM proaktif banteras penyalahgunaan dadah

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan memandang serius gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar universiti, sekolah menengah dan murid sekolah rendah.

Sehubungan itu, PEMADAM Kebangsaan mengambil pelbagai langkah proaktif, termasuk program pendidikan pencegahan diketengahkan bagi mengatasi penularan gejala itu dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata statistik tangkapan dan pemulihan penagih dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini menunjukkan lebih 28,000 daripada 60,000 tahanan lokap direkodkan, berumur 30 tahun ke bawah.

Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, berkata walaupun jumlah itu masih rendah, namun kes penggunaan dadah dalam kalangan golongan muda semakin meningkat dan ia harus dibendung.

"Strategi utama itu akan dilaksanakan secara bersepadu dengan membabitkan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, dalam menjelaskan ancaman dadah ke seluruh negara.

"Dalam usaha meremajakan tenaga PEMADAM Kebangsaan, kami tubuhkan Kelab PEMADAM di peringkat universiti agar gejala ini dapat dibanteras dari akar umbi.

"Kami turut menubuhkan Kelab PEMADAM Remaja yang menumpukan pelajar sekolah menengah sebelum turun lagi ke peringkat sekolah rendah bagi memberikan kesedaran tentang bahaya penggunaan dadah secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Kebangsaan ke-42 di Wilayah Persekutuan yang bakal berlangsung pada 17 Disember ini, di sini, hari ini.

Bertemakan Membina Kelestarian Generasi, perhimpunan itu bakal dihadiri lebih 2,000 peserta terdiri daripada 173 wakil PEMADAM Kebangsaan, mahasiswa dan anggota NGO dari seluruh negara.

Turut hadir Naib Yang Dipertua PEMADAM, Datuk Omar Osman; Setiausaha Kerja PEMADAM, Zuriah Abu Bakar; Biro Promosi dan Media PEMADAM, Hashim Anang.

Kata Nur Jazlan, penggunaan dadah sintetik jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) terutama pil ecstasy dan amphetamin menjadi pilihan baharu menggantikan dadah tradisional seperti ganja, heroin dan morfin dalam kalangan golongan muda.

"Dadah yang diproses dengan campuran bahan kimia itu memberi kesan ketagihan yang boleh membawa kematian sekiranya digunakan tanpa kawalan," katanya.

Berita Harian X