Khamis, 14 Disember 2017 | 8:10pm
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zulkifli Abdullah (kanan) menaiki Kapal Peronda PT2 ketika melakukan lawatan kerja ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

PPM mohon Kerajaan pertimbang tambah aset

PELABUHAN KLANG: Kerajaan Persekutuan diminta menimbangkan cadangan tambahan aset Pasukan Polis Marin (PPM) seiring cabaran membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya membabitkan perairan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, PPM berdepan kekangan dalam aspek penguatkuasaan berikutan kekurangan beberapa aset penting, termasuk bot bersaiz besar.

Katanya, walaupun wilayah penguatkuasaan PPM membabitkan kawasan sejauh 12 batu nautika sahaja, bot berkenaan dapat digunakan bagi penugasan lebih lama di lautan, terutama di perairan Sabah yang sering dijadikan lokasi tumpuan jenayah.


Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Zulkifli Abdullah bersalam dengan anggota pasukan elit Marin selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

"PPM kekurangan aset seperti ini kerana ia diperlukan dan dapat memperkasakan peranan pasukan ini membanteras sebarang kegiatan jenayah di perairan negara.

"Cadangan sudah dihantar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kami berharap ia dapat diluluskan dalam tempoh segera," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas PPM Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah (Kepolisan Am) KDNKA Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof dan Komander PPM Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Sepanjang Januari sehingga November lalu, PPM berjaya menahan 4,000 individu membabitkan nilai rampasan lebih RM77 juta.

Mengulas lanjut, Zulkifli turut mencadangkan kawasan perairan di Sabah dibahagikan kepada dua untuk membolehkan fokus penugasan PPM yang lebih berkesan.

"Sekarang cuma ada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sahaja.

"Kami merayu supaya diadakan satu lagi wilayah Sabah, kerana kita tahu perairan pantai timur lebih kritikal. Jadi dengan adanya wilayah baharu, penugasan dan fokus kami akan lebih jelas," katanya.

Berita Harian X