Khamis, 14 Disember 2017 | 8:56pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin.

Dewan Negara lulus RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang memperuntukkan kuasa budi bicara kepada mahkamah ketika menjatuhkan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan yang diluluskan sebulat suara itu perlu dilihat sebagai permulaan positif dan selaras keperluan semasa.

Katanya, RUU itu antara lain diperkenalkan sebagai strategi baharu agenda kerajaan dalam memerangi dadah yang dianggap sebagai musuh utama negara.

"RUU ini mendapat sambutan hangat dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila kerajaan memasukkan pindaan terhadap 39B Akta 234.

"Ia berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dan memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman terhadap pesalah dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 sebelum ini dibentangkan menerusi bacaan kali pertama selepas sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada 23 November lalu.

Pindaan subseksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234 yang dibawa oleh Azalina bertujuan memberi mahkamah kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali bagi kesalahan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, mahkamah hanya boleh mengambil kira mana-mana hal keadaan yang dinyatakan dalam perenggan baharu 39B (2A)(a)(b) atau (c) yang dicadangkan ketika menjatuhkan hukuman pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

Mahkamah hendaklah mengambil kira perakuan secara bertulis oleh pendakwa raya mengenai penentuan pertimbangan bahawa orang yang disabitkan mengikut subsekyen 39B (2) sudah membantu agensi penguatkuasaan mengendalikan aktiviti pengedaran dadah di dalam dan luar Malaysia.

Bantuan kepada agensi penguatkuasaan dalam mengendalikan aktiviti pengedaran dadah itu termasuk pemberian maklumat sehingga membawa kepada penangkapan, penahanan atau pendakwaan mana-mana individu yang terbabit dengan sebarang aktiviti pengedaran dadah.

Menerusi cadangan pindaan RUU, mahkamah tidak boleh menjalankan kuasanya untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang yang sudah disabitkan dengan pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali tanpa perakuan secara bertulis pendakwa raya, walaupun ia dinyatakan dalam perenggan 39B (2A)(b) atau (c) yang dicadangkan.

Selain itu, RUU berkenaan hendaklah terpakai kepada individu yang dituduh, namun belum disabitkan mengikut seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh mahkamah.

Sehubungan itu, Azalina meminta semua pihak memberi kerjasama secara kolektif dalam membanteras penyalahgunaan dadah di Malaysia, sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan RUU berkenaan.

"Pindaan RUU ini menunjukkan keterbukaan kerajaan dalam mengambil keputusan yang progresif demi kepentingan umum," katanya.

Berita Harian X