Jumaat, 15 Disember 2017 | 11:00pm

Jenazah isteri KPN dibawa pulang ke Ipoh

SHAH ALAM: Jenazah isteri Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, akan dibawa pulang ke kampung halamannya Rapat Jaya, Ipoh, Perak malam ini selepas solat jenazah di Surau Khalid al-Walid di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di surau berkenaan selepas tiba dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Kira-kira 500 orang termasuk orang kenamaan dan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir di surau berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Allahyarham Azizah yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, menghembus nafas terakhir pada jam 7.02 malam tadi selama 15 tahun menghidap penyakit kanser.

Sementara itu, Mohamad Fuzi ketika memberi ucapan ringkas selepas selesai solat jenazah berkata, walaupun berat hatinya, beliau reda dengan pemergian isterinya.

Katanya, Allahyarham Azizah sudah melalui proses rawatan yang panjang sejak 2002 lagi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan takziah. Kalau ada salah silap isteri saya, saya juga minta halal makan minum khususnya kepada anggota PDRM dan ahli PERKEP.

"Arwah yang minta supaya disemadikan di Ipoh, bersebelahan dengan kubur anak lelaki tunggal kami yang meninggal dunia pada 2007," katanya.

Jenazah dijangka dikebumikan jam 9 pagi esok.

Berita Harian X