Sabtu, 16 Disember 2017 | 4:19pm
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyampaikan pedang kepada Penuntut Keseluruhan Terbaik Pegawai Kadet Kolej Tentera Udara, Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhamad Syazwan Ahmad pada Perbarisan Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM di Kem Segenting, Port Dickson hari ini. - Foto BERNAMA
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyampaikan hadiah kepada Pegawai Kadet (PK) Graduan Terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia, Pegawai Rendah Kanan (PRK) MuhamadSyazwan Ahmad, 25, sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM di Akademi Tentera Darat (ATD), Kem Segenting, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Kaum lain sertai ATM masih rendah

PORT DICKSON: Penyertaan kaum lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini masih rendah berikutan setiap pengambilan kadet baharu, hanya kira-kira 10 peratus yang menyertai pasukan itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata dalam majlis tamat latihan yang diadakan hari ini, seramai 201 pegawai kadet berjaya menamatkan latihan.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya empat orang masing-masing kaum Cina dan India, Iban (tiga), Bajau (tiga), Kadazan (dua), Bugis (dua) dan lain-lain kaum enam orang.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memeriksa perbarisan Pegawai Rendah Kanan (PRK) pada Perbarisan Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM di Kem Segenting, Port Dickson hari ini.Seramai 201 Pegawai Kadet Graduan tamat latihan hari ini. - Foto BERNAMA

"Penyertaan kaum Cina dan India terutamanya ketika ini masih terlalu rendah, jika dibandingkan dengan Melayu seramai 177 orang.

"ATM sentiasa membuka ruang dan mengalu-alukan kaum lain sama-sama menyertai pasukan ini, dalam usaha menjaga kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM di Akademi Tentera Darat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamaruzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Seramai 106 pegawai kadet Tentera Darat (TD), 44 pegawai kadet Tentera Laut TLDM dan 51 pegawai kadet TUDM ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda, selepas tamat latihan sembilan bulan di pusat latihan masing-masing sejak Mac lalu.

Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi berharap supaya lebih ramai kaum lain menyertai pasukan itu pada masa akan datang.

"Golongan muda seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan harus berani berkorban untuk negara," katanya.

Berita Harian X