Sabtu, 16 Disember 2017 | 4:40pm
PAKAR mata dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Liza Sharmini Ahmad Tajudin

Pakar nafi 'couching' mampu rawat katarak

GEORGETOWN: Teknik 'couching' disahkan tidak mampu merawat katarak, sebaliknya akan mendatangkan pelbagai komplikasi sepanjang hayat ke atas pesakit yang menjalani rawatan itu.

Pakar mata dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Liza Sharmini Ahmad Tajudin, berkata teknik yang mula diguna pakai sejak era kegemilangan Mesir itu juga sudah diharamkan di negara ini sejak tahun 1990-an.

Katanya, teknik itu diharamkan selepas ramai pesakit yang menjalani rawatan 'couching' gagal memulihkan katarak, selain mengalami kehilangan 15 diopter semula jadi yang menyebabkan individu terbabit tidak mampu melihat dengan jelas.

"Pesakit hanya mampu melihat dengan jelas dalam suatu tempoh singkat selepas menjalani rawatan 'couching'. Bagaimanapun, penglihatan mereka kembali kabur kerana 15 diopter di bahagian mata sudah pun ditolak ke karung belakang mata.

"Pesakit juga terpaksa bergantung dengan pemakaian cermin mata dengan 'power' sekurang-kurang 1,500 bagi setiap mata jika mahu melihat seperti sedia kala. Ini kerana, 15 diopter itu bersamaan dengan kanta yang berkuasa 1,500.

"Selain itu, pesakit berdepan risiko amat tinggi untuk menghidap radang mata yang boleh menjejaskan keseluruhan retina hingga menyebabkan buta dengan keseluruhan komplikasi itu akan ditanggung seumur hidup mereka. Peluang untuk sembuh sangat minimum," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Diopter ialah ukuran kuasa suatu kanta atau prisma yang bersamaan dengan jarak fokus yang diukur dalam meter.

Mengulas teknik itu, Dr Liza Sharmini berkata, pengamal perlu menggunakan alat seperti jarum atau seumpamanya untuk menolak selaput katarak yang sudah masak sepenuhnya ke bahagian karung belakang lensa.

"Selaput katarak ini akan ditekan menggunakan jarum atau alat khusus sehingga ia masuk ke bahagian karung belakang lensa. Kaedah ini boleh menyebabkan retina koyak atau menarik 'filler' mata yang sangat sensitif.

"Difahamkan, bayaran untuk menjalani teknik 'couching' ini juga lebih mahal berbanding pesakit melakukan pembedahan membuang katarak secara sah di hospital. Pembedahan membuang selaput katarak juga hanya membabitkan kos kira-kira RM1,000 dan lebih selamat," katanya.

Berita Harian X