Ahad, 17 Disember 2017 | 12:25am
DATUK Seri Najib Razak (empat, kiri) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) bersama Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa (dua, kanan) ketika hadir menyambut Hari Kebangsaan Bahrain di Istana Sakhir hari ini.
Turut sama Menteri Pertahanan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan).- Foto BERNAMA

Najib hadiri sambutan Hari Kebangsaan Bahrain

MANAMA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa pada sambutan Hari Kebangsaan negara Teluk ini, di sini, semalam.

Sambutan yang berlangsung di Istana Sakhir itu menyaksikan Najib diberi penghormatan untuk duduk bersebelahan dengan Raja Hamad.

Dengan mengenakan sut berwarna gelap dan memakai 'King Hamad (Al Nahda) First Medal', Najib adalah satu-satunya pemimpin asing yang diundang ke majlis berkenaan.

Pada Jumaat, Raja Hamad menganugerahkan 'King Hamad (Al Nahda) First Medal', anugerah tertinggi negara ini, kepada Najib yang melakukan lawatan rasmi ke Bahrain.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga duduk bersebelahan Raja Hamad pada majlis itu.

Pada majlis berkenaan, Raja Hamad berkenan menyampaikan pingat kebesaran negara kepada 73 rakyat Bahrain.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga mengenakan sut gelap dan memakai 'Medal of First Degree', yang beliau terima daripada Raja Hamad, semalam.

Hishammuddin juga adalah Menteri Tugas-tugas Khas.

Bahrain mengisytiharkan kemerdekaannya dari Britain pada 15 Ogos, 1971, namun menyambut Hari Kebangsaannya pada 16 Disember. - BERNAMA

394 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »