Isnin, 18 Disember 2017 | 3:57pm
PENGARAH Urusan YTL Corporation dan Anak Sulong Mendiang Tan Sri (Dr) Yeoh Tiong Lay, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping (sembilan dari kiri) bergambar bersama penerima-penerima derma ketika Majlis Keluarga Yeoh Menderma RM10 Juta Kepada 103 Organisasi Kebajikan, Pendidikan dan Oganisasi Bukan Kerajaan Sebagai Penghormatan Terhadap Mendiang Bapa Mereka, Tan Sri (Dr) Yeoh Tiong Lay di Majestic Hotel. - Foto Saddam Yusoff

Keluarga Yeoh derma RM10 juta kepada badan kebajikan

KUALA LUMPUR: Keluarga jutawan hartanah dan pembinaan, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, hari ini menyumbang RM10 juta kepada 103 badan kebajikan, pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sumbangan Keluarga Yeoh itu bagi bagi mengenang Tiong Lay yang meninggal dunia Oktober lalu. Mendiang juga pengasas syarikat Kumpulan YTL.

Majlis penyerahan sumbangan YTL Corporation diadakan di Hotel Majestic di sini.

Cek sumbangan disampaikan Pengarah Urusan YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, kepada 28 wakil organisasi terbabit dengan pertubuhan selebihnya telah menerima sumbangan pada upacara pengebumian 22 Oktober lalu.

Antara penerima sumbangan hari ini ialah Badan Warisan Malaysia (RM100,000); Breast Cancer Foundation (RM100,000); Yayasan IJN (RM100,000); Yayasan AIDS Malaysia (RM100,000); Bulan Sabit Merah Malaysia (RM100,000); Mercy Malaysia (RM100,000); Yayasan Budi Penyayang Malaysia (RM100,000) dan Unicef Malaysia (RM50,000).

Kenyataan YTL Corporation diedar kepada media di majlis tertutup itu berkata penyampaian sumbangan hari ini bertujuan mengenang dan meneruskan legasi sikap murah hati dan dermawan mendiang Tiong Lay.

"Bapa saya mendirikan asas bagi keluarga kami, memberi inspirasi kepada kami dengan kerja keras beliau, integriti, akal perniagaan, hikmah dan kebaikan.

"Nilai-nilai teras ini terus memberi inspirasi kepada kami bagi melestarikan sifat dermawan beliau dan membantu pihak yang memerlukan" kata Sock Ping.

Sock Ping yang juga anak sulung mendiang menyifatkan bapanya seorang wira sebenar yang sayangkan negara.

"Beliau menyaksikan negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957 dan menyumbang secara berterusan bagi pembinaan infrastruktur negara pada tahun-tahun awal kemerdekaan, untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

"Beliau mengerti bahawa pendidikan adalah bahagian penting dalam meneruskan transformasi negara dan beliau menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya dengan terbabit secara langsung dalam pembangunan sekolah dan komuniti di seluruh negara.

"Saya berdoa agar kami dapat meneruskan kerja mulia ini yang dimulakan mendiang bapa melalui khidmat kepada masyarakat," kata Sock Ping.

Majlis penyampaian sumbangan hari ini dihoskan anak bongsu mendiang, Datuk Mark Yeoh Seok Kah.

Mendiang antara 10 individu terkaya di Malaysia meninggal dunia pada 18 Oktober lalu meninggalkan balu, Puan Sri Tan Kai Yong, tujuh anak, 27 cucu dan lima cicit.

1482 dibaca
Berita Harian X