Isnin, 18 Disember 2017 | 10:00pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diringi menteri-menteri dalam Mesyuarat Bilateral dengan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di Presidential Secretariat Building sempena lawatan rasmi beliau selama 3 hari ke Sri Lanka hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diringi menteri-menteri dalam Mesyuarat Bilateral dengan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di Presidential Secretariat Building sempena lawatan rasmi beliau selama 3 hari ke Sri Lanka hari ini. - Foto BERNAMA

Isu lesen Dialog Axiata akan selesai - PM

COLOMBO: Malaysia dan Sri Lanka setuju melantik dua wakil masing-masing bagi menyelesaikan isu pembaharuan lesen perkhidmatan sektor telekomunikasi membabitkan syarikat Dialog Axiata Plc (Dialog Axiata), pelabur luar terbesar di negara Asia Selatan itu.

Difahamkan, permohonan untuk memperbaharui lesen bagi meneruskan operasi di Sri Lanka yang dihadapi oleh syarikat dari Malaysia itu tertangguh sejak 30 bulan lalu sehingga menyukarkan pelaburan besar yang dirancang di Sri Lanka.

Dialog Axiata adalah anak syarikat Axiata Group yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan dua pegawai untuk negara masing-masing dipersetujui Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena ketika pertemuan empat mata dengannya hari ini.

Katanya, Dialog Axiata adalah pelabur asing terbesar di Sri Lanka dengan jumlah pelaburan menghampiri AS$2.2 bilion (RM9.02 bilion).

"Salah satu perkara diketahui umum adalah pembaharuan lesen yang dipohon Dialog Axiata yang masih tertangguh, dan presiden cadangkan diwujudkan satu mekanisme, yakni mereka akan melantik dua wakil mereka dan Malaysia juga akan lantik dua wakil untuk menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat.

"Jadi saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif bahawa ada 'cahaya di hujung terowong' dan selepas saya balik nanti, kita akan putuskan (dua wakil Malaysia), selepas saya dapatkan pandangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) siapa yang patut dan sesuai untuk dilantik.

"Mudah-mudahan ia dapat diselesaikan dalam masa tidak berapa lama lagi kerana Axiata (Group) dan Dialog (Axiata) mempunyai kemampuan untuk terus meningkatkan pelaburan mereka di Sri Lanka.

"Malah, mereka ada (AS$) 200 hingga 300 juta (RM816.3 juta hingga RM1.22 bilion) pelaburan tambahan yang boleh mereka lakukan dan kini menunggu penyelesaian isu 'renewal of licensing' (pembaharuan lesen)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sempena lawatan rasmi pertamanya ke negara ini, di sini, hari ini.

Najib berkata, ada beberapa perkara dalam isu berkenaan yang beliau maklumkan kepada Presiden Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

"Dia faham apakah yang patut dilakukan oleh Axiata dan Dialog (Axiata) untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Berita Harian X