Selasa, 19 Disember 2017 | 5:35pm
NAJIB melawat ibu pejabat Dialog Axiata Plc (Dialog Axiata), anak syarikat Axiata Group Bhd, milik Khazanah Nasional Bhd di Colombo, hari ini.

Malaysia sedia kekal peserta utama teknologi Asia Tenggara

COLOMBO: Malaysia sudah membuat persiapan secukupnya untuk kekal sebagai peserta utama bidang teknologi di rantau Asia Tenggara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, negara berada di landasan betul untuk membuat perubahan ke arah era digital atau dikenali sebagai Industri 4.0.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Pelan Strategik Kebangsaan mengenai Internet Semua Benda (IoT), antara persediaan Malaysia bagi tujuan itu.

Katanya, projek membabitkan IoT sahaja akan menyumbang sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.25 bilion) kepada Pendapatan Negara Kasar dan menyediakan 14,270 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2020.

"Hari ini saya dengan yakin katakan bahawa Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk kekal sebagai peserta utama teknologi di Asia Tenggara, ketika rantau itu sedang menguasai perubahan yang berlaku dalam era digital," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Dialog Axiata Digital Innovation Fund (DADIF) sempena lawatannya ke ibu pejabat Dialog Axiata Plc (Dialog Axiata), anak syarikat Axiata Group Bhd, milik Khazanah Nasional Bhd di sini hari ini.

Najib berkata, DFTZ menggabungkan zon fizikal dan maya dengan tambahan perkhidmatan atas talian dan digital bagi memudahkan perdagangan elektronik atau e-Dagang, selain menyemarakkan inovasi berasaskan internet.

Beliau berkata, Malaysia akan memperolehi banyak faedah hasil pelaksanaan model Industri 4.0 negara yang tersendiri.

"Ini bermakna kita melihat dan mencipta semula cara kita melakukan sesuatu dengan menggabungkan teknologi ke dalam proses daripada perkilangan kepada rangkaian bekalan hingga kepada pengurusan perhubungan pelanggan.

"Tidak sangsi lagi, kita kini berdepan gelombang perubahan ekonomi digital," katanya.

Berita Harian X