;
Selasa, 19 Disember 2017 | 6:00pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

Kabinet bincang buka kedutaan di timur Baitulmaqdis: PM

COLOMBO: Kabinet akan bincang berhubung keperluan Malaysia untuk membuka pejabat kedutaan di Timur Baitulmaqdis, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diperhalusi Kabinet termasuk mendapatkan pandangan pihak berkuasa Palestin mengenainya terlebih dahulu.

"Kita pun belum dapat pandangan daripada pihak berkuasa Palestin, kita nak kena dapat pandangan mereka dulu, saya tak mahu mendahului tapi kita memang komited untuk memperjuangkan hak Palestin.

"(Malaysia) menentang langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, itu makna pendirian kita tegas dalam hal ini," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Sri Lanka, hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas pengumuman Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa Turki akan membuka pejabat kedutaannya di Baitulmaqdis dalam tempoh terdekat sebagai mengiktiraf Timur Baitulmaqdis ibu kota Palestin.

"Saya akan teliti cadangan Erdogan ini daripada pelbagai segi dan aspek dulu," kata Perdana Menteri.

Pengumuman dibuat Recep beberapa hari selepas beliau menggesa semua pemimpin negara Islam menerusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, minggu lalu yang turut dihadiri Najib, menyatakan pendirian mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu, sehingga mencetuskan bantahan dan kritikan keras.

1372 dibaca
Berita Harian X