X
Khamis, 21 Disember 2017 | 8:21pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mengadakan sidang media mengenai isu pindah milik tanah FELDA Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mengadakan sidang media mengenai isu pindah milik tanah FELDA Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Pindah milik tanah mungkin ada unsur rasuah

KUALA LUMPUR: Kemungkinan wujud unsur rasuah dalam proses penukaran hak milik tanah strategik FELDA di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim, berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes berkenaan kerana penyalahgunaan kuasa juga diklasifikasikan sebagai rasuah.

"Rasuah semua orang tahu, selalu orang fikir rasuah mesti membabitkan duit, tidak. Duit hanyalah habuan, beri perkhidmatan seks pun tak ada duit tetapi menjurus kepada rasuah.

"Perkara yang paling mustahak dalam rasuah adalah penyalahgunaan kuasa tetapi saya tidak mahu komen pasal SPRM, kemungkinan akan wujud (rasuah) jika ada orang menyalahgunakan kuasa," katanya pada sidang media di Menara FELDA, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan JPM, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali.

BH hari ini membongkarkan isu FELDA berdepan risiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik dianggarkan bernilai lebih RM200 juta di pusat bandar ini berikutan dipercayai berlaku transaksi pindah milik tanah mencurigakan sejak 2015.

Razali berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, hari ini yang menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan kerana ia menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.

Mengulas lanjut, Razali menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan kepentingan FELDA terjejas berikutan isu penukaran hak milik tanah agensi berkenaan.

Katanya, apa yang penting buat masa ini, hak milik tanah masih dilindungi kerana harta berkenaan memiliki kaveat persendirian.

"Selain laporan polis untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak berkaitan, juru audit bebas yang dilantik Unit Kawal Selia JPM akan menjalankan audit penuh kepada keseluruhan transaksi bermula bulan depan," katanya.

Razali berkata, tindakan sivil akan diambil untuk mengenal pasti pelanggaran pematuhan peraturan dalaman agensi berkenaan.

Kata, jika wujud pelanggaran, pihak berkaitan tidak boleh dibiarkan terlepas daripada tindakan.

"Tindakan terhadap syarikat adalah soal kedua dan kedua-dua itu kita akan teliti, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi, tetapi saya tidak menolak kemungkinan tindakan sivil akan diambil (terhadap syarikat)," katanya.

Berita Harian X