Jumaat, 22 Disember 2017 | 7:56pm
PRESIDEN PTVM, Datuk Jurey Latif Rosli. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PTVM minta pertimbang caj penggambaran di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meminta pihak Perbadanan Putrajaya menimbang kembali kenaikan kadar caj bagi aktiviti penggambaran di kawasan itu yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Presidennya, Datuk Jurey Latif Rosli, berkata, peningkatan caj itu terpaksa ditanggung syarikat penerbitan sekali gus meningkatkan kos penerbitan yang semakin tinggi.

"Putrajaya adalah lokasi menarik yang berpotensi mempromosikan imej negara ke persada antarabangsa, sudah tentu lokasi itu menjadi tumpuan penerbit yang mahu hasil karya mereka dinikmati penonton dari dalam mahupun luar negara.

"Kadar caj baharu penggambaran di kawasan platinum meningkat sebanyak RM5,000 dan lain-lain kawasan sebanyak RM2,000 serta deposit pada kadar rata sehari RM5,000 agak terlalu tinggi dan membebankan penerbit.

"Berbanding dengan kadar lama dua tahun sebelum ini yang hanya dikenakan sebanyak RM500 untuk beberapa hari tempoh penggambaran.

"Pengumuman kadar baharu yang dikeluarkan Perbadanan Putrajaya menerusi Facebook mereka sejak semalam mengejutkan semua ahli PTVM, apatah lagi harga pembelian program dari stesen televisyen masih berada pada kadar lama sejak 20 tahun lalu oleh RTM dan kadar mengikut permintaan oleh stesen televisyen swasta.

"Kami berharap pihak Perbadanan Putrajaya dapat menangguhkan serta mengadakan perbincangan bersama PTVM bagi mencari kaedah penetapan caj dengan mengambil kira harga pembelian program televisyen yang masih rendah dan kos yang semakin meningkat," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Jenis penggambaran yang dikenakan caj seperti filem, drama, dokumentari, iklan komersial dan muzik video.

Berita Harian X