Sabtu, 23 Disember 2017 | 9:58pm

Husaini dilantik NC UMK baharu, ganti Mortaza

KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Husaini Omar dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Kementerian Pendidikan Tinggi ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, pemilihan Husaini susulan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya semasa menyandang jawatan pentadbiran utama.

Katanya, ia merangkumi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa jawatan sebelumnya, membabitkan peringkat nasional dan antarabangsa.

"Kementerian percaya beliau dapat memacu kecemerlangan UMK ke tahap yang lebih tinggi," menurut kenyataan media, hari ini.

Husaini memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam bidang Geologi, sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di University of Leeds, United Kingdom dalam bidang sama.

Beliau kemudian meneruskan pembelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di UPM dalam bidang Kejuruteraan Sistem, sebelum memulakan kerjaya sebagai pensyarah di universiti berkenaan pada 1996.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama UPM, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Dekan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan serta Pengarah Urusan UPM Holdings.

Ketokohan beliau dalam bidang akademik, tadbir urus korporat dan kemampuan memastikan kemampanan kewangan universiti turut terserlah apabila berjaya mengenengahkan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan, selain menyaksikan kejayaannya memacu UPM Holdings Sdn Bhd menjadi antara anak syarikat universiti awam terbaik di Malaysia.

Beliau turut dianugerahkan pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti WIPO Gold Medal, Anugerah Belia Nasional, Anugerah Saintis Muda Nasional dan Marquis Who's in Science and Engineering susulan kecemerlangan serta kepercayaan institusi antarabangsa terhadap keupayaannya.

"Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi berharap pelantikan ini bakal meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau terhadap kecemerlangan UMK dalam mencapai visi serta misi sebagai universiti berteraskan keusahawanan.

"Kementerian juga ingin merakamkan penghargaan kepada bekas Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed, atas khidmat bakti dan kepimpinannya sepanjang menyandang jawatan berkenaan dari 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X