Ahad, 24 Disember 2017 | 2:19pm
OPERASI menangkap buaya jenis tembaga untuk dipindahkan dilakukan kakitangan PERHILITAN di Kampung Air Leleh, Pekan. - Foto Mohd Rafi Mamat

'Sang Bedal' mungkin cari habitat baru

PEKAN: Buaya tembaga berukuran 4.57 meter yang dikesan di pesisir pantai Kampung Air Leleh di sini semalam berkemungkinan besar cuba mencari habitat baharu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, berkata buaya seberat antara 350-380 kilogram itu dikatakan beberapa kali dilihat dan berjemur di pantai terbabit.

"Ada beberapa faktor membuatkan buaya jantan terbabit naik ke darat dari laut, antaranya perubahan suhu, arus dan ombak air laut serta gangguan habitat.

"Mungkin juga ia tewas (dengan buaya lebih dominan di habitat asal) dan cuba mencari sungai serta paya sesuai untuk dihuni.

"Ini kes pertama buaya tembaga bersaiz besar naik ke darat dari laut, sebelum ini berlaku kejadian seekor buaya ditemui terdampar di pesisir pantai Teluk Cempedak, Kuantan namun saiznya kecil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Buaya dianggarkan berusia 20 hingga 25 tahun itu dikesan berada di pesisir pantai kira-kira jam 10 pagi sehingga menarik perhatian penduduk.

Usaha menangkap buaya itu hampir berakhir dengan kemalangan apabila reptilia itu bertindak agresif.

Ia dikatakan cuba menggigit dan melibas kakitangan PERHILITAN Pahang dan anggota bomba ketika mereka cuba menutup mata serta mengikat semula ikatan pada mulutnya yang tercabut.

Ahmad Azhar berkata, operasi menangkap buaya berkenaan mengambil masa empat jam dan ia akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Selangor dalam masa terdekat.

"Saya nasihatkan penduduk berhampiran sungai dan laut supaya segera menghubungi PERHILITAN sekiranya melihat kelibat buaya.

"Jangan cuba bertindak bersendirian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Berita Harian X