Selasa, 26 Disember 2017 | 4:11pm

Kaji semula bayaran levi pekerja asing

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang akan berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan dasar itu dibimbangi bukan saja akan membebankan industri, tetapi juga pengguna secara keseluruhannya.

Katanya, pelaksanaan dasar berkenaan menyebabkan majikan terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan, termasuk pembayaran gaji kepada pekerja asing yang dijangka meningkat sehingga 15.6 peratus.

"Selain itu, dasar ini juga akan menyebabkan majikan di seluruh negara perlu menanggung kos operasi tambahan antara RM3 hingga RM4 bilion setahun.

"Ini sekali gus akan menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi dan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan berikutan industri akan membebankan peningkatan kos itu kepada pengguna.

"Bagi syarikat pengeksport, dasar ini memberi cabaran besar kerana mereka tidak boleh mengalihkan kos berkenaan kepada pembeli memandangkan dalam pasaran antarabangsa terlalu banyak pilihan dan pembeli akan beralih kepada pembekal lain jika mereka menaikkan harga," katanya dalam satu sidang media yang turut disertai 22 persatuan pelbagai sektor perindustrian dan dewan perniagaan, di sini, hari ini.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan minggu lalu mengumumkan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang ditangguhkan pelaksanaannya awal tahun 2017 akan mula dikuatkuasakan 1 Januari ini.

Pengumuman itu menetapkan majikan di negara ini mesti menanggung pembayaran levi bagi pekerja asing baharu dan pekerja asing yang diperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ketetapan dasar berkenaan turut terpakai kepada majikan yang sudah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum dasar ini dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun ini dan akan tamat tempoh pada 2018.

Shamsuddin berkata, selain kos levi sebanyak RM1,850 setahun untuk setiap pekerja asing, majikan juga terpaksa menanggung pelbagai peningkatan kos tambahan lain yang ditetapkan kerajaan, termasuk pemeriksaan kesihatan, insurans dan kemudahan lain seperti pengangkutan, tempat tinggal dan kesihatan.

Katanya, kos keseluruhan yang terpaksa ditanggung majikan untuk seorang pekerja asing adalah sebanyak RM6,240 memandangkan negara sumber menuntut pekerja asing tidak dikenakan sebarang kos sebagai syarat untuk diambil bekerja.

"Pembayaran levi saja boleh mencecah peningkatan sebanyak 15.4 peratus sedangkan kajian terhadap peningkatan gaji pekerja tempatan adalah sebanyak lima hingga enam peratus saja.

"Kalau kita laksanakan dasar ini, pekerja asing akan mendapat peningkatan gaji sehingga 15.4 peratus yang saya rasakan tidak adil kerana keseluruhan kos untuk pengambilan pekerja asing meningkat sehingga 20 peratus termasuk kos perubatan, perumahan dan pengangkutan," katanya.

Shamsuddin berkata, MEF berharap kerajaan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan majikan sebelum merangka dan melaksanakan sebarang dasar membabitkan pekerja asing.

Info:

Kadar levi pekerja asing setahun mengikut sektor:

Perkilangan RM 1,850.00

Pembinaan RM1,850.00

Perladangan RM 640.00

Pertanian RM 640.00

Perlombongan dan Kuari RM 1,850.00

Perkhidmatan :- RM 1,850

Restoran

Pencucian dan Pembersihan

Pengendalian Kargo

Dobi

Kedi

Kedai Gunting Rambut

Perniagaan Borong dan Runcit

Perniagaan Tekstil

Logam Sekerap dan Terpakai

Perkhidmatan:

Pulau Peranginan RM 1,850

Perkhidmatan :

Rumah Kebajikan RM 1,850

Berita Harian X