Selasa, 26 Disember 2017 | 5:07pm

Malaysia tidak import susu keluaran LNS Lactalis

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengimport susu bayi keluaran syarikat LNS Lactalis Group dari Perancis, yang sebelum ini diarah ditarik balik daripada pasaran antarabangsa kerana disyaki terbabit pencemaran bakteria Salmonella.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata kementerian sudah mendapat pengesahan mengenai perkara itu daripada International Food Safety Authorities Network (INFOSAN) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kedutaan Perancis di Malaysia.

"Berdasarkan maklumat Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) di bawah kementerian ini, tiada pengimportan bagi produk berkenaan ke Malaysia, bermakna pengguna tidak perlu khuatir.

"Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, berkuatkuasa 11 Disember lalu, pihak kementerian sudah mengenakan larangan import terhadap produk terbabit.

"Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan LNS Lactalis Group dan pihak berkuasa kesihatan Perancis mengarahkan produk susu bayi keluaran syarikat itu ditarik balik daripada pasaran antarabangsa kerana disyaki terbabit pencemaran Salmonella, berikutan kes 26 kanak-kanak yang jatuh sakit di Perancis.

Mengulas lanjut, Noraini berkata Salmonella adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.

"Dalam kes tertentu, ia boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko seperti bayi, orang tua atau seseorang mempunyai sistem imuniti yang rendah," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna yang musykil berhubung sebarang isu keselamatan makanan supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Berita Harian X