Khamis, 28 Disember 2017 | 3:09pm
PENGARAH Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto Supian Ahmad

Harga barang naik jika majikan tanggung levi

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang secara mendadak dalam pelbagai sektor dijangka berlaku tahun depan, jika kerajaan berkeras mahu majikan menanggung kos bayaran levi pekerja asing, bermula 1 Januari ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata dasar itu dijangka menyebabkan peningkatan aliran keluar ringgit sehingga RM4 bilion setahun.

Katanya, ia akan menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi yang dijangka lebih empat peratus, sekali gus membawa kepada kenaikan harga barangan secara mendadak.

Sehubungan itu, MEF tidak bersetuju dengan dasar baharu berkenaan kerana ia akan memberi impak negatif kepada rakyat dan ekonomi negara.

"Dasar ini sekadar memindahkan tanggungjawab pembayaran levi daripada pekerja asing kepada majikan. Ia tidak menambah pungutan levi daripada industri kepada kerajaan.

"Apabila dasar ini dilaksanakan, wang syarikat yang boleh digunakan untuk operasi akan berkurangan manakala perbelanjaan meningkat kerana perlu membayar levi di samping cukai pendapatan, sekali gus mengurangkan keuntungan syarikat.

"Aliran keluar ringgit pula dijangka meningkat kerana gaji pekerja asing akan meningkat sehingga 15 hingga 16 peratus berikutan mereka tidak perlu lagi membayar levi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan mewajibkan majikan yang diberi perakuan menggaji pekerja asing menandatangani 'Aku Janji Majikan' serta menanggung kos bayaran levi sepenuhnya bagi penggajian setiap pekerja asing, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Keputusan memindahkan tanggungjawab pembayaran levi pekerja asing kepada majikan itu diumumkan pada 20 Disember lalu, namun MEF memohon kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.

Shamsuddin berkata, kira-kira 400,000 majikan dijangka perlu menampung peningkatan kos sekitar 15 hingga 16 peratus iaitu antara RM3 hingga RM4 bilion setahun susulan pembayaran levi itu.

"Ini tidak termasuk peningkatan kos lain seperti pemberian tempat tinggal lebih baik kepada pekerja asing menerusi perumahan berpusat, pemeriksaan perubatan serta insurans pekerja asing seperti terkandung dalam Aku Janji Majikan.

"Jika dicampur semua itu, peningkatan kos ditampung majikan adalah antara 20 hingga 22 peratus. Semua industri yang menggajikan pekerja asing seperti sektor pembuatan, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan akan terjejas dengan dasar ini," katanya.

Ditanya mengenai kandungan Aku Janji Majikan, Shamsuddin berkata, ia membabitkan pengambilan pekerja asing, namun dibuat secara sebelah pihak.

Katanya, pihaknya akan terus berusaha berbincang dengan kerajaan berhubung perkara itu, walaupun beberapa siri pertemuan sebelum ini tidak memberikan hasil yang memberangsangkan.

Ditanya kemungkinan dasar itu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Shamsuddin berkata, majikan bersedia menggajikan lebih ramai pekerja tempatan, namun hakikatnya tidak ramai mahu menceburi bidang disertai pekerja asing ketika ini.

Berita Harian X