Jumaat, 29 Disember 2017 | 11:45am
Foto hiasan

Susu rumusan selamat digunakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan susu rumusan yang disyaki tiruan dalam rampasan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekitar Johor Bahru pada 10 Disember lalu, adalah selamat.

Susu rumusan yang disyaki menggunakan cap dagangan palsu bernilai RM42,000 yang dirampas di lima tempat berasingan di Johor Bahru, walau bagaimanapun tidak mencapai standard kualiti.

"Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama rapat dengan KPDNKK dan sudah mengambil sampel produk itu untuk analisis oleh Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Jabatan Kimia Malaysia bagi mengesahkan keselamatan produk berkenaan.

"Hasil analisis mendapati produk itu selamat. Walau bagaimanapun, produk berkenaan tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983, iaitu dari segi kandungan lemak.

"Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.

Pengguna yang ada kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X