Jumaat, 29 Disember 2017 | 6:29pm

Mohon pembantu rumah asing hanya 8 hari

PUTRAJAYA: Bermula 1 Januari ini, proses penggajian pembantu rumah asing (PRA) hanya mengambil masa lapan hari menerusi Sistem Maid Online (SMO) yang diperkenalkan Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata prosedur itu membabitkan permohonan oleh majikan melalui laman web SMO termasuk keputusan saringan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang dijangka mengambil masa tiga hingga lima hari dan proses oleh Jabatan Imigresen yang mengambil masa maksimum lima hari.

Beliau menjelaskan, melalui SMO, permohonan PRA menjadi lebih cepat, tepat dan jimat kerana boleh dilakukan dalam masa singkat jika tiada sebarang masalah pada peringkat permohonan oleh majikan, berbanding mengambil masa berbulan, malah bertahun sebelum ini.

"Ia juga lebih tepat kerana majikan akan memasukkan sendiri maklumat dan perincian peribadi dan PRA yang mahu digaji berbanding oleh ejen sebelum ini, selain kos yang lebih murah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini," katanya pada sidang media khas Permohonan PRA Secara Dalam Talian di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan majikan boleh memohon PRA secara terus dalam talian bermula 1 Januari 2018.

Mustafar berkata, majikan boleh menggaji PRA yang berada di Malaysia, dengan syarat dia tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang aktif dengan majikan lain.

Selain itu, katanya, majikan juga boleh memohon menggaji PRA yang sudah tinggal lebih masa di negara ini iaitu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2017 atas Pas Lawatan Sosial.

"Bagaimanapun, tempoh permohonan bagi bakal PRA yang tinggal lebih masa ini hanya akan dibuka untuk tempoh enam bulan saja iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun 2018.

"Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dahulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa untuk tindakan kompaun dan maksimum kompaun yang dikenakan adalah RM900," katanya.

Bagi majikan yang berhasrat mengambil PRA terus dari negara sumber, Mustafar berkata majikan tertakluk kepada syarat, prosedur dan kos yang dikenakan negara berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja permohonan penggajian PRA lulus dan majikan sudah membuat pembayaran, majikan perlu hadir ke Jabatan Imigresen bersama PRA mereka bagi pengambilan data biometrik, dan pihak Imigresen seterusnya akan mengeluarkan PLKS dan i-Kad (kad identiti pekerja asing mengikut sektor) kepada PRA.

Permohonan PRA boleh dibuat di laman sesawang maid-online.imi.gov.my manakala untuk mengetahui syarat kelayakan dan maklumat lanjut, majikan boleh membuat pertanyaan melalui e-mel admin_maidonline.imi.gov.my atau menelefon 03-88801468.

INFO: Prosedur pengambilan PRA secara dalam talian melalui SMO

1. Daftar masuk

2. Login masuk, daftar majikan dan maklumat PRA

3. Muat naik keputusan FOMEMA
(Langkah 1 hingga 3 - dilakukan majikan)

4. Muat naik dokumen dan hantar permohonan

5. Semakan dokumen

6. Kelulusan

7. Notifikasi keputusan

8. Bayaran secara dalam talian

9. Cetakan PLKS
(Langkah 4 hingga sembilan oleh Jabatan Imigresen)

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali ketika sidang media mengenai permohonan pengambilan pembantu rumah asing secara terus oleh majikan di Putrajaya, turut kelihatan (dari kiri), Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod, Rosfan Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Datuk Khairul Khar Yahya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali ketika sidang media mengenai permohonan pengambilan pembantu rumah asing secara terus oleh majikan di Putrajaya, turut kelihatan (dari kiri), Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod, Rosfan Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Pekerja Asing, Datuk Khairul Khar Yahya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X