Ahad, 31 Disember 2017 | 5:14pm
PLAZA Tol Batu Tiga. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Tol Batu Tiga, Sungai Rasau berakhir tengah malam ini

SHAH ALAM: Kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan akan berakhir jam 12 tengah malam ini.

Pemansuhan kutipan tol di dua lokasi terbabit diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2018.

Sebelum ini, pengguna perlu membayar RM1 di Tol Sungai Rasau manakala RM1.10 untuk Tol Batu Tiga.

Malam ini, UMNO Bahagian Shah Alam, diketuai Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, akan membuat Majlis Kesyukuran yang akan dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Azhari ketika dihubungi, berkata usaha yang diperjuangkan Barisan Nasional (BN) itu ternyata berbaloi.

Katanya, secara fizikal, cadangan pemansuhan dua tol itu sudah dibuat sejak 10 tahun lalu tetapi ia dibuat lebih serius sejak 2014.

"Saya sendiri berjumpa Datuk Seri Najib Razak, dua kali dan menyerahkan memorandum meminta tol berkenaan dimansuhkan.

"Usaha juga dilakukan dengan membuat perbincangan bersama Kementerian Kerja Raya malah usul memansuhkan tol ini dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO sejak 2013," katanya.

Seorang pemandu teksi, Asri Hassan, 50, berkata bermula esok, beliau sebagai pengguna yang kerap tol itu, tidak perlu lagi membuat bayaran.

"Sebagai pemandu teksi, saya tidak mempunyai pilihan lain. Kadang-kadang lebih tiga kali kena lalu tol itu," katanya.

Berita Harian X