Ahad, 31 Disember 2017 | 9:24pm
PLAZA Tol Bukit Kayu Hitam. - Foto Amran Hamid

Tol Bukit Kayu Hitam mansuh selepas 32 tahun

BUKIT KAYU HITAM: Pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini, dianggap hadiah tahun baharu yang cukup bermakna daripada kerajaan kepada rakyat.

Pastinya lebih 300 petugas yang beroperasi di sepanjang laluan antara Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini dan garisan sempadan Malaysia-Thailand, paling gembira kerana tidak perlu lagi mengeluarkan belanja tambahan RM3.60 setiap kali melepasi kaunter tol berkenaan.

Selain itu, manfaat sama turut dikongsi pelancong dan peniaga yang sering berulang-alik melepasi sempadan setiap hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zaini Japar, berkata pemansuhan kutipan tol itu membuktikan suara rakyat khususnya yang bekerja di kawasan terbabit meliputi golongan petugas dan peniaga didengari kerajaan.

"Sejak 10 tahun kita usahakan (supaya kadar kutipan tol disemak) dan akhirnya ia dimansuhkan selepas kira-kira 32 tahun beroperasi.

"Pada mulanya kita meminta kerajaan mencari mekanisme dengan tidak mengenakan tol kepada rakyat yang bekerja di kawasan berkenaan, sebaliknya kerajaan memilih untuk memansuhkannya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan pemansuhan terbabit pekerja di kawasan berkenaan dapat menjimatkan perbelanjaan hampir RM150 sebulan.

"Bagi yang bekerja, mesti ada pergi dan balik, sehala sahaja RM3.60, ...bayangkan kalau sebulan sudah berapa ratus mereka perlu bayar," katanya.

Penjawat awam, Wan Azrani Zakaria, 29, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana selain menjimatkan wang ringgit ia juga menjimatkan masa.

"Saya perlu berulang alik menghantar kakak, Shahamurni, 37, yang bekerja di kompleks bebas cukai dengan tempat kerja kira-kira 18 kilometer sehari.

"Pemansuhan itu menjimatkan wang dan masa kerana kadang kala berlaku kelewatan apabila ada pengguna yang tercari-cari kad Touch n Go ketika mahu membuat pembayaran," katanya.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali Chan, turut berkongsi pandangan sama kerana mengakui menyeberang sempadan sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengambil dan menghantar bekalan di Bukit Kayu Hitam dan pekan Danok di Thailand.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana mendengar keluhan kami," katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018, mengumumkan pemansuhan kutipan tol berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini membabitkan dua di Selangor dan masing-masing satu di Kedah serta Johor.

Selain Bukit Kayu Hitam di Kedah, tiga lagi ialah Batu Tiga dan Sungai Rasau di Shah Alam, Selangor serta Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di Johor.

875 dibaca
Berita Harian X