Isnin, 1 Januari 2018 | 2:16pm

"Betul tiada tol?"

SHAH ALAM: Kurang tempoh 24 jam kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga dimansuhkan, masih ramai pengguna yang keliru.

Sepanjang tempoh kira-kira empat jam BH Online membuat tinjauan di kedua-dua plaza tol, lebih 100 kenderaan berhenti untuk menyentuhkan kad Touch n Go serta mengimbas Smart Tag mereka seperti biasa.

Beberapa pemandu kenderaan juga tidak berpuas hati dan cuba meninjau sama ada mesin pengimbas tidak berfungsi, walaupun kebanyakan palang sudah tiada.


PENGGUNA Lebuhraya Persekutuan yang berhenti untuk mengimbas TnGo dan SmartTAG walaupun kutipan tol sudah dimansuhkan yang berkuat kuasa tepat jam 12 tengah malam tadi di Plaza Tol Batu Tiga. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Terdapat beberapa pemandu keluar dari kenderaan untuk mengambil kad Touch n Go yang terjatuh selepas mengimbasnya beberapa kali.

Ada juga yang mengundurkan kenderaan untuk ke laluan bersebelahan sehingga menyebabkan kesesakan.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan beberapa pengguna yang sudah maklum mengenai pemansuhan kutipan tol berkenaan, sehingga membunyikan hon tanpa henti.

Pemandu yang tahu mengenai pemansuhan itu pula memandu dengan laju di laluan sempit plaza tol berkenaan.


ANTARA pengguna Lebuhraya Persekutuan yang berhenti untuk mengimbas TnGo dan SmartTAG walaupun kutipan tol sudah dimansuhkan yang berkuat kuasa tepat jam 12 tengah malam tadi di Plaza Tol Batu Tiga. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Petugas media cuba membantu melancarkan trafik dengan memaklumkan mengenai pemansuhan itu, dengan berdiri berhampiran mesin pengimbas.

Seorang pekerja logistik daripada Gombak, Hermanto Zainal, 50, berkata, beliau dan rakan sekerjanya ke Klang atas urusan kerja dan menghala ke Kuala Lumpur.

"Saya memang tidak tahu. Ingatkan tidak berfungsi. Saya lihat laluan lain pun sama juga.

"Saya hanya menyedari kutipan tol sudah dimansuhkan apabila petugas media melambai-lambai menunjukkan tiada kutipan," katanya.

Seorang lagi pengguna kedua-dua tol berkenaan, Mohd Azanor Bidin, 31, yang berasal Klang berkata, beliau terlupa mengenai pemansuhan kutipan tol itu.

"Saya tahu mengenai pemansuhan kutipan di kedua-dua plaza tol ini tetapi saya terlupa sudah dikuatkuatkan hari ini.

"Terima kasih Kerajaan Persekutuan atas pemansuhan ini. Ia dapat meringankan bebanan saya yang setiap hari menggunakan kedua-dua tol ini," katanya.

ANTARA pengguna Lebuhraya Persekutuan yang berhenti untuk mengimbas TnGo dan SmartTAG walaupun kutipan tol sudah dimansuhkan berkuat kuasa tepat jam 12 tengah malam tadi di Plaza Tol Batu Tiga. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X