Isnin, 1 Januari 2018 | 8:52pm
PENGGUNA kenderaan menggunakan laluan di Plaza Tol Sungai Rasau secara percuma selepas dimansuhkan tepat pada jam 12 tengah malam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KAKITANGAN PLUS, Mohd Amirul Fahmi Samsul, 23, memikul palang tol yang dibuka selepas pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga tepat jam 12 tengah malam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mansuh empat tol bukti kerajaan tunai janji

KUALA LUMPUR: Pemansuhan empat tol di tiga negeri yang berkuat kuasa hari ini adalah bukti kerajaan menunaikan janji bukan untuk menang undi, tetapi menunaikannya demi rakyat.

Pemansuhan berkenaan membabitkan Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau di Selangor; Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di Johor.

Menerusi entri terbaharu blog NajibRazak.com malam ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beberapa tol sudah dimansuhkan sejak 2009, termasuklah empat mulai hari ini.

Katanya, kadar tol juga terus dihadkan walaupun perjanjian konsesi menuntut ia dinaikkan hasil legasi seorang dua bekas pemimpin terdahulu.

"Kita terus mendengar suara rakyat dan membantu dengan pelbagai kemudahan infrarakyat seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang bebas tol, projek kereta api dan segala pemberian insentif serta kebajikan," kata beliau.

Najib turut menyelar tindakan pembangkang yang cuba memutar belit pengumuman pemansuhan tol berkenaan untuk kepentingan politik mereka.

"Saya masih ingat lagi semasa mengumumkan perkara ini dalam pembentangan Bajet 2018. Gamat suasana dewan, lebih-lebih lagi para pembangkang yang sibuk mula memikirkan bagaimana mereka ingin memutar belit pengumuman ini untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata, ada yang kata pemansuhan itu adalah hasil usaha mereka, ada pula yang kata memang sudah sampai masa perjanjian konsesi itu tamat atau ia sepatutnya dimansuhkan lebih awal lagi.

Hakikatnya UMNO-lah yang memperjuangkannya bersama komponen parti Barisan Nasional dan pemimpin kerajaan, malah perjanjian menunjukkan ada tol ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada jadual.

Lebih buruk lagi, ada yang mengatakan pemansuhan tol ini memudaratkan rakyat. Mungkin mereka tidak dapat melihat kesesakan di kawasan tol berkenaan atau penjimatan yang dinikmati rakyat apabila tidak lagi membayar tol.

"Hipokritnya pembangkang, mereka menyanjung tinggi bekas pemimpin yang membuat perjanjian berat sebelah, menguntungkan sesetengah kroni tetapi merugikan dan menindas rakyat.

"Umum mengetahui bahawa pembangkang jugalah yang menjadi pemegang saham dalam beberapa konsesi tol, malah ada juga mahu membina lebuh raya bertol di negeri pimpinan mereka," katanya.

Najib berkata, ada yang berjanji menghapuskan tol sejak 2008 apabila memimpin negeri berkenaan, tetapi hingga hari ini tol itu masih tidak dimansuhkan.

"Semua ini hanya omong kosong, bukan sahaja tol, bahkan satu apa janji populis mereka kepada rakyat tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana mereka tidak mempunyai perancangan atau pelan kukuh untuk melaksanakannya," katanya.

Berita Harian X