Selasa, 2 Januari 2018 | 1:31pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan (kanan) memberi kata-kata semangat kepada pmurid-murid ketika melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rumbia. - Foto BERNAMA

'Jangan terpengaruh khabar angin WhatsApp'

ALOR GAJAH: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin mengenai penangguhan sesi persekolahan akibat banjir, yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan, berkata buat masa ini, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa dan sebarang maklumat mengenai penangguhan akan dikeluarkan Jabatan Pendidikan negeri masing-masing.

"Saya nasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya berurusan dengan pihak sekolah dan tidak mengambil maklumat yang disebarkan menerusi WhatsApp atau media sosial untuk mendapatkan maklumat sahih," katanya.

Beliau berkata, semua Pengarah Jabatan Pendidikan di seluruh negeri sudah bermesyuarat dan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan mengenai persiapan sesi persekolahan.

"Banjir bukan perkara baru dan semua (Jabatan Pendidikan negeri) sudah bersiap sedia. Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, Pahang dan Sarawak dikenal pasti terbabit bencana banjir.

"Malah, sekolah yang tidak terbabit dengan banjir juga bersiap siaga kerana ada yang akan dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir.

"Kita sentiasa mengambil maklum mengenai situasi semasa," katanya selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rembia, di sini, hari ini.

Seramai 120 murid akan memulakan sesi persekolahan di sekolah baharu bernilai RM6.3 juta itu pada 15 Januari ini selepas menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rashid Mohd Sidek.

Berita Harian X