Selasa, 2 Januari 2018 | 9:23pm
KETUA Penyelidik CSI Kelulut UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak menunjukkan lalat solido hitam (Black Soldier Fly) pada sidang media penubuhan Kumpulan Pemantauan (CSI) Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di UMT Gong Badak, petang ini. - Foto Aslina Abu Bakar
KETUA Penyelidik CSI Kelulut UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak menunjukkan lalat solido hitam (Black Soldier Fly) pada sidang media penubuhan Kumpulan Pemantauan (CSI) Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di UMT Gong Badak, petang ini. - Foto Aslina Abu Bakar

CSI Kelulut UMT bantu pengusaha madu tempatan

KUALA NERUS: Pengusaha madu kelulut di negara ini kini mempunyai saluran untuk melaporkan sebarang ancaman makhluk perosak supaya bantuan segera dapat diberikan bagi mengatasi masalah dan mengelak kerugian.

Kumpulan Pemantauan (CSI) Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang ditubuhkan April lalu sedia membantu pengusaha mengatasi masalah dihadapi bagi memelihara kelangsungan lebah kelulut.

Ketua Penyelidik CSI Kelulut UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak, berkata laporan segera yang dibuat membantu pihaknya menjalankan kajian segera bagi mengesan ancaman biologi terhadap kelulut di Malaysia.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dianggotai tujuh penyelidik dalam bidang entomologi iaitu kajian serangga, selain mendapat kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Pertanian Negeri, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.

"Kumpulan CSI Kelulut UMT ini adalah inisiatif daripada pengkaji serangga dan kelulut bersama agensi kerajaan termasuk beberapa agensi bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu ancaman makhluk perosak dengan pantas dan berkesan.

"Selepas mendapat laporan daripada pengusaha berkaitan masalah dialami, kami boleh bertindak segera dengan menjalankan siasatan awal terhadap kewujudan ancaman bagi menganalisis status semasa dan mencari penyelesaian ideal dengan lebih efektif," katanya ketika sidang media penubuhan kumpulan berkenaan di UMT Gong Badak, petang ini.

Dr Shamsul Bahri yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT berkata, kebanyakan penternak mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit kerana tidak tahu jalan penyelesaian sekiranya sarang kelulut mereka diserang makhluk perosak.

"Sekiranya penternak menjalinkan kerjasama dan melaporkan masalah yang alami dengan segera, kami dapat membantu mereka mengesan punca ancaman melalui kaedah saintifik dan mencari penyelesaian paling mudah bagi mengawal ancaman daripada merebak ke seluruh Malaysia.

"Ia penting kerana mengikut data dikeluarkan Kementerian Pertanian pada 2016, penternak kelulut di Malaysia kerugian lebih RM2 juta kerana serangan daripada lalat solido hitam (Black Soldier Fly) dan kumbang buah (Haptoncus).

"Malah, wabak ini masih berlaku sehingga kini kerana masih ada penternak kelulut, khususnya yang masih baharu dalam industri ini tidak tahu cara penjagaan ladang kelulut bagi mengelak serangan parasit lain," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X