Rabu, 3 Januari 2018 | 3:48pm

Mangsa banjir Pahang terus meningkat

KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 3,526 orang daripada 1,007 keluarga, berbanding 1,832 orang daripada 530 keluarga, jam 7 pagi tadi.

Berdasarkan rujukan di laman infobanjir.jkm.gov.my, sehingga jam 2 petang tadi, sebanyak empat daerah di negeri ini dilanda banjir iaitu Kuantan, Rompin, Pekan dan Jerantut.

Di Kuantan, seramai 2,814 orang daripada 819 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala di Rompin, 633 mangsa daripada 168 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Di Pekan, 70 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di sebuah PPS manakala di Jerantut, sembilan mangsa daripada tiga keluarga berlindung di sebuah PPS.

Berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 2 petang, paras air di tiga sungai negeri itu masih melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Belat di Sri Damai pada bacaan 5.90 meter (m), Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (30.38m) dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut (52.06m).

Empat sungai turut melepasi tahap amaran iaitu Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.02m), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (18.01m), Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (67.30m) dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi di sini (7.84m).

1766 dibaca
MOHD Fauzi Mohd Lazim, 49 bersama anaknya mengangkat barang keperluan selepas rumah kediamannya di Taman Sungai Isap Damai yang dinaiki air berikutan hujat lebat sejak awal pagi ini. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »