Rabu, 3 Januari 2018 | 4:01pm
KEADAAN paras air Sungai Kelantan akibat air hujan sejak beberapa hari lalu di Tangga, Kuala Krai. - Foto Faris Zainuldin.

Guru risiko seberang sungai ketika banjir

KUALA KRAI: Setiap kali musim banjir pada awal tahun, seramai 16 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, di sini, berdepan masalah menyeberangi Sungai Kelantan untuk ke sekolah itu berikutan arus air deras.

Keadaan itu menyebabkan sekolah yang menempatkan 124 murid itu terpaksa ditutup memandangkan jalan perhubungan melalui sungai berkenaan membahayakan keselamatan mereka.

Guru Bahasa Melayu, Ramli Noor, 59, berkata sepanjang mengajar di sekolah itu selama 15 tahun, dia bersama guru lain terpaksa 'bercuti' beberapa hari daripada mengajar murid kerana tidak dapat menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia menganggap ia sebagai cabaran sebagai pendidik walaupun terpaksa menyeberangi sungai menggunakan bot selama 45 minit untuk ke sekolah berkenaan dari jeti Tangga Krai, di sini.

"Pada hari pertama persekolahan, kami masih lagi ke sekolah biarpun paras air meningkat, namun semalam (kelmarin) sebaik tiba di jeti jam 6.30 pagi, saya terkejut dengan keadaan arus deras menyebabkan kami membatalkan niat menyeberangi sungai berkenaan.

"Bagaimanapun, saya termasuk 15 guru lain tetap melapor diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum ditempatkan ke SK Kuala Krai.

"Saya berharap paras air akan surut segera kerana bimbang sesi pengajaran dan pembelajaran yang dirancang terganggu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

SK Bahagia antara enam sekolah yang ditutup sejak semalam di Kuala Krai dan Tanah Merah demi keselamatan guru dan murid memandangkan keadaan jalan perhubungan melalui sungai bahaya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Sazali Ibrahim, berkata tiga sekolah di Kuala Krai termasuk SK Ladang Taku, SK Kelang tidak beroperasi berikutan masalah sama.

"Semua 50 guru dan 347 murid tidak dapat ke sekolah atas faktor keselamatan mereka. Bagaimanapun, guru diarahkan melaporkan di PPD sebelum ditempatkan ke sekolah berhampiran," katanya.

Berita Harian X