Rabu, 3 Januari 2018 | 4:54pm
GAMBAR fail. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Perseketuan (JKKKP) Jeram Tekoh, Fauzi Awang membersih dalam rumah yang ditenggelami lumpur di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh. - Foto Ramli Ibrahim

Banjir di Kelantan pulih, semua pusat pemindahan tutup

KOTA BHARU: Banjir di beberapa kawasan di negeri ini dilaporkan pulih dan semua pusat pemindahan sementara ditutup petang ini.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, pusat pemindahan terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi di Gua Musang ditutup pada jam 3 petang selepas 33 mangsa daripada 10 keluarga dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang ini, dua jambatan di Gua Musang, iaitu Jambatan Setelu dan Jambatan Kampung Kerinting masih ditutup kepada semua kenderaan.

Untuk sesi persekolahan hari ini, enam sekolah di Kuala Krai dan Tanah Merah ditutup berikutan jalan perhubungan terputus akibat dinaiki air.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menerusi satu kenyataan, memaklumkan seramai 1,015 murid terjejas, manakala 119 guru perlu melapor diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhampiran.

Antara sekolah ditutup, SK Bahagia, SK Ladang Taku dan SK Pasir Kelang di Kuala Krai serta SK Sokor, SK Ladang Kerilla serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla di Tanah Merah.

Berita Harian X