Rabu, 3 Januari 2018 | 7:07pm
MANGSA banjir menerima sumbangan yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Air Papan Mersing. - Foto Mohd Sah Muda

Banjir di Johor makin pulih

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin pulih apabila hanya 380 mangsa daripada 105 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara di Mersing, manakala semua mangsa di Kota Tinggi sudah dibenarkan pulang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang, berkata semua pusat pusat pemindahan di Kota Tinggi sudah ditutup.

Katanya, beberapa kampung terjejas akibat banjir di Mersing sehingga petang ini, termasuk Kampung Kelantan, Tanjung Genting, Tenglu Besar, Semanyir, Air Tawar, Pengkalan, Air Merah dan Jemari, selain Taman Nakhoda serta Air Papan.

Seramai 77 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, manakala 61 mangsa daripada 18 keluarga di SK Tenglu dan 40 mangsa daripada enam keluarga di Balairaya Serbaguna Kampung Benaung.

Pusat pemindahan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Endau pula menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga dan Sekolah Agama Pengkalan Batu menempatkan 133 mangsa daripada 36 keluarga.

"Selain itu, seramai 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Air Merah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mat Zin berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan dan pejabat daerah menjalankan pemantauan berterusan di semua lokasi terjejas akibat banjir.

189 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »