Rabu, 3 Januari 2018 | 10:07pm
PRESIDEN MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Keputusan sambung cari MH370 minggu depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada mahu meneruskan misi mencari pesawat MH370 dengan bantuan sebuah syarikat penerokaan dasar laut, minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan kini berada pada fasa terakhir perbincangan sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan syarikat terbabit.

"Kita akan umum minggu depan, syarikat itu boleh menggerakkan kapal mereka selepas rundingan akhir selesai.

"Australia dan China mungkin akan terbabit sama dalam misi pencarian itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran portal therakyat.com di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Beliau mengulas laporan berita antarabangsa, The Guardian yang memaklumkan misi pencarian MH370 akan disambung.

The Guardian melaporkan pencarian MH370 disambung semula apabila sebuah kapal pencarian berlepas dari Afrika Selatan menuju ke kawasan pencarian di luar perairan Perth, Australia.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal.

485 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »