Khamis, 4 Januari 2018 | 1:17pm
TINJAUAN bauksit mendapati tidak ada sebarang aktiviti memunggah bauksit sejak kenyataan Tarik Balik pada 21 Disember di ladang kelapa sawit sekitar Felda Bukit Goh. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bekas lombong bauksit jadi perangkap musim tengkujuh

KUANTAN: Keadaan bekas lombong bauksit yang terbiar di sekitar FELDA Bukit Goh dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh dekat sini, dibimbangi boleh membahayakan nyawa terutama kanak-kanak pada musim banjir ini.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abd Manan Ismail berikutan masih banyak bekas lombong terbiar sehingga menjadi kolam takungan air selepas kerajaan mengenakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit pada 15 Januari 2016.

"Kita tidak mahu kejadian lemas seperti berlaku semalam di Kampung Padang Jaya yang menyebabkan seorang kanak-kanak meninggal dunia, berulang.

"Kita bimbang kanak-kanak bermain di kawasan sedemikian dan kemudian tergelincir dalam kolam hingga menyebabkannya lemas," katanya ditemui pada gotong-royong memasak untuk mangsa banjir oleh UMNO Bahagian Paya Besar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Datuk Zaili Besar, ADUN Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah dan Ketua Pemuda UMNO Paya Besar, Shahar Abdullah.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, murid Tahun Satu, Muhammad Faris Aqeel Mohd Afif,7, lemas selepas terjatuh dalam longkang dipenuhi banjir berhampiran sawah padi sedalam kira-kira lapan meter.

Adik mangsa, Muhammad Firas Adam,5, yang bermain dengannya ketika kejadian sempat diselamatkan jiran.

Susulan itu, Abd Manan berkata, ibu bapa di sekitar kawasan bekas lombong bauksit berkenaan perlu memantau pergerakan anak masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya juga meminta pihak berkuasa dan pemilik lombong bauksit meletakkan notis amaran berbahaya supaya orang ramai dapat mengambil perhatian," katanya.

Abd Manan berkata, bekas lombong bauksit yang terbiar sehingga menjadi kolam takungan air sepatutnya ditimbus semula sebagai langkah keselamatan seperti dititahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Sudah ada kanak-kanak lemas di bekas lombong bauksit yang harus menjadi iktibar namun arahan untuk menimbusnya semula tidak dipatuhi," katanya.

Sementara itu, Abd Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, berkata program gotong-royong memasak itu adalah sebahagian kebajikan dijalankan pihaknya untuk meringankan beban lebih 400 mangsa banjir di PPS SMK Pandan.

"Kepemimpinan UMNO Bahagian Paya Besar bersama-sama menyediakan juadah untuk mangsa banjir dan ini sekurang-kurangnya dapat menggembirakan mereka selepas ditimpa musibah banjir," katanya.

Berita Harian X