Khamis, 4 Januari 2018 | 4:51pm
KEADAAN banjir di Kampung Paya Teh, Jerantut. - Foto Nazirul Roselan

Mangsa bertambah walau cuaca semakin baik

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di enam daerah negeri ini meningkat kepada 9,185 daripada 2,524 keluarga di 51 pusat pemindahan, walaupun keadaan cuaca bertambah baik hari ini.

Berdasarkan rujukan di laman infobanjir.jkm.gov.my, hingga jam 2 petang tadi, Kuantan masih paling ramai mangsa membabitkan 7,149 orang daripada 2,003 keluarga yang ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah Pekan pula membabitkan 754 orang daripada 190 keluarga di lima PPS manakala di daerah Rompin pula seramai 714 orang daripada 190 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

"Jumlah mangsa di daerah Maran pula ialah 170 orang daripada 39 keluarga di 3 PPS, Jerantut (35 orang, 7 keluarga, 3 PPS) dan Lipis (9 orang, 2 keluarga, 2 PPS)," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, maklumat dalam laman web infobanjir.water.gov.my hingga jam 2 petang pula menunjukkan lima sungai yang melepasi tahap merah atau bahaya di negeri ini.

Lima sungai berkenaan adalah Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut (52.42 meter), Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (30.04 meter), Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.81 meter), Kuala Sungai Chini, Pekan (15.08 meter) dan Sungai Belat di Sri Damai (5.41 meter).

Selain itu, hanya dua sungai melepasi tahap jingga atau amaran iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (66.27 meter) dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (18.89 meter).

505 dibaca
Berita Harian X