Sabtu, 6 Januari 2018 | 10:38am
PENDUDUK Taman Sungai Isap Damai, Kuantan Mohd Fauzi Mohd Lazim membersihkan perabot dan rumahnya selepas banjir kembali surut. - Foto BERNAMA

Banjir: Jumlah mangsa di Pahang berkurangan

KUANTAN: Banjir di Pahang bertambah baik apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 6,570 orang daripada 1,803 keluarga sehingga jam 10 pagi ini.

Maklumat daripada Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menunjukkan Kuantan masih lagi mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 4,954 daripada 1,396 keluarga di 22 pusat pemindahan sementara.

Pekan pula dengan 1,278 mangsa daripada 323 keluarga di tujuh pusat pemindahan, Bera dengan 138 daripada 33 keluarga di lima pusat pemindahan, manakala jumlah mangsa di Rompin berkurangan kepada 60 orang daripada 14 keluarga di satu pusat pemindahan.

Seramai 93 mangsa daripada 24 keluarga terjejas di Maran dan ditempatkan di tiga pusat pemindahan, Jerantut dengan 26 mangsa daripada lima keluarga di satu pusat pemindahan.

Selain itu, seramai 10 mangsa daripada lima keluarga di Lipis ditempatkan di satu pusat pemindahan, manakala di Temerloh, seramai 11 mangsa daripada empat keluarga masih berada di dua pusat pemindahan.

Laman infobanjir.water.gov.my sehingga jam 9 pagi, melaporkan paras tiga sungai di negeri ini masih pada tahap merah atau bahaya iaitu Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan pada 11.11 meter (m), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (19.75m) dan Kuala Sungai Chini, Pekan (15.72m), semua menunjukkan aliran peningkatan.

Hanya dua sungai melepasi tahap jingga atau amaran, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dengan 22.76m dan Sungai Belat di Seri Damai di sini, 4.7m).

263 dibaca
Berita Harian X