Sabtu, 6 Januari 2018 | 3:50pm
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom, (tengah) merasmikan Majlis Permainan Dalam Talian Camp Warriors untuk Alumni PLKN & Mini Karnival PLKN 2.0. Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof, (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, (tiga dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Aminuddin Omar, (tiga dari kiri) di Dataran Darul Aman, Jitra. - Foto Azhar Ramli
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom, (tengah) merasmikan Majlis Permainan Dalam Talian Camp Warriors untuk Alumni PLKN & Mini Karnival PLKN 2.0. Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof, (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, (tiga dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Aminuddin Omar, (tiga dari kiri) di Dataran Darul Aman, Jitra. - Foto Azhar Ramli

Camp Warriors medium 'reunion' alumni PLKN

JITRA: Lebih 850,000 alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini berpeluang untuk kembali 'bersatu' dengan menjadikan aplikasi permainan atas talian dikenali 'Camp Warriors' sebagai medium pertemuan semula.

Camp Warriors berasaskan permainan strategi perang dibangunkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), diperkenalkan sejak 1 September lalu dan dibuka penyertaannya kepada semua alumni PLKN melalui muat turun di Google Play atau Apple Store.

Bukan sekadar medium pertemuan semula alumni PLKN, permainan strategi berlangsung setahun hingga 31 Ogos ini turut menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti motosikal, telefon pintar, pakej pelancongan dan pelbagai hadiah lain dengan enam pemenang akan dipilih setiap bulan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, ketika melancarkan Camp Warriors berkata permainan strategi perang itu menerima sambutan baik apabila lebih 60,000 alumni PLKN direkod menyertainya sejak 1 September lalu.

Beliau berkata, antara lain permainan itu diwujudkan bagi menjejaki semula 865,086 alumni PLKN yang mengikuti latihan khidmat negara sejak 2004 hingga tahun lalu.

"Selain menawarkan hadiah menarik, Camp Warriors diharap dapat memastikan alumni PLKN mendaftar dan berhubung antara satu sama lain bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan serta kesukarelaan.

"Mereka dikehendaki melayari contest.khidmatnegara.gov.my untuk mendaftar sebelum memulakan permainan dengan pemenang akan ditentukan berdasarkan skor tertinggi di carta pemain setiap bulan serta jumlah 'invite' tertinggi," katanya selepas melancarkan Camp Warriors, di sini.

Pada majlis sama, Mohd Johari turut melancarkan Mini Karnival PLKN 2.0 yang mempunyai pengisian senamrobik, pameran agensi kerajaan, pertandingan sepak raga tuju dan demonstrasi modul PLKN 2.0.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohd Zainy Mohamed Zain; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Junaidah Kamaruddin dan Ketua Pengarah JLKN, Datuk Mohmed Asri Yusof.

Mohd Johari turut menggalakkan alumni PLKN menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) bagi meneruskan kesinambungan dalam menjalankan aktiviti sukarela kepada masyarakat.

"Hingga kini 323,314 daripada keseluruhan 865,086 alumni PLKN sudah menyertai BSKN dan melaluinya kita ingin mewujudkan pasukan sukarelawan terlatih untuk membantu masyarakat menghadapi bencana seperti banjir," katanya.

Sementara itu, beliau berkata permohonan bagi latihan PLKN 2.0 tahun ini sudah dibuka kepada remaja yang lahir pada tahun 2000 dan dua tahun sebelumnya melalui www.khidmatnegara.gov.my dengan sasaran 20,000 penyertaan melalui empat kumpulan.

Berita Harian X