Sabtu, 6 Januari 2018 | 5:03pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (dua dari kiri) menyerahkan Replika Cek Subsidi Pengangkutan Bas Sekolah kepada Pengurus Ladang Kekayaan, Wong Lai Nam (kiri) ketika Majlis Penyerahan Van dan Subsidi Pengangkutan Bas Sekolah 2018 di Ladang Kekayaan di Paloh, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

UAE, Arab Saudi setuju bantu pelarian Rohingya

KLUANG: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi setuju menyertai Malaysia membantu pelarian Rohingya di Bangladesh, terutama bagi menyalurkan bantuan perubatan secara terus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata persetujuan dizahirkan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Putera Mahkota UAE, Putera Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, menerusi panggilan telefon akhir Disember lalu.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, dua negara Asia Barat berkenaan memberi persetujuan menyalurkan bekalan perubatan dan logistik secara berterusan di Hospital Medan Malaysia di Wilayah Cox's Bazar, Bangladesh.

"Kerjasama Malaysia, UAE dan Arab Saudi bukan saja bagi membela pelarian Rohingya di Bangladesh, malah menunjukkan komitmen bersepadu negara Islam.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melawat Hospital Medan Malaysia tidak lama lagi bagi menyaksikan kerjasama tiga negara membantu pelarian Islam di sana," katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara penyerahan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas pelajar di Ladang Kekayaan, Paloh, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Maghribi akan menjadi pintu masuk bagi memperluaskan risikan dan kerjasama ketenteraan mengekang keganasan militan.

Beliau berkata, kedudukan Maghribi yang strategik antara benua Eropah, Afrika dan Asia Barat membolehkan negara berkenaan berperanan lebih besar dalam jalinan risikan antarabangsa.

"Perkara itu diputuskan dalam lawatan rasmi saya ke Maghribi pada 22 hingga 24 Disember lalu yang antara lain bertujuan meningkatkan hubungan di bidang keselamatan dan pertahanan.

"Hubungan baik dengan Maghribi membolehkan pelbagai input pertahanan dan keselamatan antarabangsa, risikan serta ketenteraan dikongsi bersama, " katanya.

Berita Harian X