Sabtu, 6 Januari 2018 | 7:08pm
PENGERUSI Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mesra Sdn Bhd, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin beramah mesra dengan penerima sijil pada majlis menandatangani dokumen perjanjian dan serahan sijil kelayakan subsidi RMR1M peringkat Parlimen Kota Bharu di Bilik Gerakan UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

8,000 rumah RMR1M, Rumah Mesra FELDA dibina

KOTA BHARU: Sebanyak 49,719 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) diluluskan sehingga 31 Disember lalu dan 41,533 rumah sudah siap dibina.

Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mesra Sdn Bhd, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, berkata daripada jumlah itu, 7,151 pemohon di Kelantan dengan 6,023 sudah siap dibina.

Selebihnya, beliau berkata, masih dalam peringkat pembinaan dan urusan dokumen perjanjian.

Katanya, untuk tahun ini, kerajaan mengarahkan pembinaan 3,000 lagi RMR1M dan 5,000 Rumah Mesra FELDA untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah dengan syarat yang diberikan tidak terlalu ketat.

"Kelantan merekodkan jumlah tertinggi permohonan, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani dokumen perjanjian dan serahan sijil kelayakan subsidi RMR1M peringkat Parlimen Kota Bharu di Bilik Gerakan UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 37 pemohon menerima surat tawaran dan sijil kelayakan subsidi RMR1M yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta serta subsidi sebanyak RM1.18 juta.

Pemohon, Mohd Sekeri Abdul Rahim, 48, meluahkan rasa syukur kerana bakal memilik rumah sendiri selepas lebih 10 tahun menyewa.

"Sudah enam tahun saya menyewa rumah dengan kadar sewa RM400 sebulan dan sebelum itu menetap di Kuala Lumpur. Saya bersama isteri dan dua anak tidak sabar untuk memiliki rumah sendiri di Wakaf Zink, Bachok nanti.

"Kami sangat berterima kasih kerana permohonan ini diluluskan dengan sekali memohon sahaja," katanya.

187 dibaca
Berita Harian X