Isnin, 8 Januari 2018 | 3:14pm
DATUK Seri Azalina Othman (dua dari kiri) bersama Pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan Sri Sabbaruddin Chik (kiri) membuat lawatan ke bangunan Amanah Raya Berhad yang diadakan di Amanah Raya Berhad, Jalan Ampang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
DATUK Seri Azalina Othman (tengah) bersama Pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan Sri Sabbaruddin Chik bergambar bersama kakitangan Amanah Raya pada lawatan ke bangunan Amanah Raya Berhad yang diadakan di Amanah Raya Berhad, Jalan Ampang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tubuh jawatankuasa khas pinda Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 - Azalina

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, menyarankan sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan Amanah Raya Berhad (ARB) bagi menambah baik Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 yang tidak pernah dipinda sejak digubal.

Beliau berkata, jawatankuasa membabitkan semua pihak berkepentingan daripada wakil kerajaan dan swasta itu akan meneliti dan mengkaji semua perkara berkaitan bagi meningkatkan kesedaran perancangan pewarisan demi membantu rakyat.

"Pada masa sama, saya berharap Pasukan Kajian ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini untuk mengkaji penubuhan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan (Aset dan Liabiliti) Milik Si Mati 1Malaysia dapat memuktamadkan laporan itu dan diserahkan kepada saya dalam tempoh terdekat.

"Laporan kajian ini akan saya bentangkan pada mesyuarat jemaah menteri.

"Saya harap ARB dapat menyiapkan cadangan ini secepat mungkin supaya dapat dibawa pada sidang Parlimen Mac ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Lawatan Rasmi ke ARB di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi ARB, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengarah Urusan Kumpulan ARB, Adenan Md Yusof.

Azalina berkata, beliau akan membantu ARB mendapat kebenaran mengakses sistem maklumat integrasi MyIdentity bagi mencari pewaris dengan cepat untuk menyempurnakan harta pusaka, wasiat atau amanah.

Beliau berkata, ARB berkolaborasi dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menawarkan alternatif kepada masyarakat untuk melantik ARB sebagai penama bagi memastikan pembahagian pusaka ahli KWSP dapat ditadbir secara efisien dan mengelak perbalahan keluarga.

Katanya, ARB turut bekerjasama dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) yang akan mencadangkan kepada mahkamah untuk melantik ARB bagi melindungi pampasan diberi kepada waris bawah umur dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Sabbaruddin berkata, setakat 30 November lalu, ARB mentadbir 14,004 fail Pengurusan Harta Pusaka Berwasiat dan Tidak Berwasiat dengan nilai RM1.14 bilion.

Katanya, bagi tempoh itu juga, terdapat 983,929 wasiat didaftarkan di ARB, manakala bagi pengurusan amanah pula, ARB menguruskan 28,308 akaun amanah dengan jumlah RM1.3 bilion.

Berita Harian X