Selasa, 9 Januari 2018 | 10:24pm

320 tapak purba dikenal pasti di Sarawak

MIRI: Sebanyak 320 tapak purba dikenal pasti di seluruh negeri ini sejak 1950-an, terutama selepas penemuan bersejarah Deep Skull yang dikaitkan Niah Man oleh Bapa Arkeologi Sarawak, Tom Harrisson pada 1958.

Penolong Kurator Arkeologi Muzium Sarawak, Mohd Sherman Sauffi, berkata daripada jumlah itu, empat tapak terbesar terletak dalam rangkaian sistem Gua Niah, di sini, selain Gua Mulu, diikuti Bario dan Santubong.

PENEMUAN arkeologi terbaru di Gua Traders di Gua Niah, Miri bakal rungkai teori penghijrahan manusia di Kepulauan Borneo

Katanya, kejayaan Profesor Madya Dr Darren Curnoe dari Universiti New South Wales, Sydney menemui beberapa artifak purba dalam rangkaian sistem Gua Niah, di sini, khususnya Gua Dagang (Traders Cave) baru-baru ini, sekali lagi melonjakkan nama Sarawak dalam `peta arkeologi' dunia.

Malah, katanya, penemuan itu yang bakal membuktikan sejarah tamadun manusia terawal di Asia Tenggara terbentuk di negeri ini, turut menambah koleksi artifak arkeologi yang cukup bernilai bagi Sarawak.

Ia secara tidak langsung menjadikan negeri `lubuk arkeologi' ini antara terbaik di dunia.

"Hasil ekspedisi dan penyelidikan, kita memiliki lebih 250,000 artifak, yang usianya menjangkau 37,000 tahun," katanya ketika ditemui di Gua Dagang di Kompleks Gua Niah di sini.

ANTARA tapak arkeologi di Gua Niah, Miri

Pasukan arkeologi diketuai Mohd Sherman dengan bantuan Dr Curnoe berjaya menemui serpihan tulang, yang dipercayai berusia kira-kira 45,000 tahun, lebih tua daripada Deep Skull yang ditemui sebelum ini.

Bagaimanapun, penemuan itu perlu dibuktikan melalui beberapa proses pengesahan, termasuk kajian `radiocarbon dating', asid deoksiribonukleik (DNA) dan beberapa teknologi forensik lain.

PERALATAN yang digunakan dalam aktiviti arkeologi di Gua Niah.

Kajian lanjutan oleh Dr Curnoe sebelum ini membentuk teori baharu bahawa manusia yang wujud di Borneo terutama di Gua Niah tidak ada kaitan dengan kelompok Orang Asli Australia, yang asalnya ditafsir berhijrah dari Afrika.

Mohd Sherman ketika mengulas lanjut, berkata proses arkeologi yang dilakukan oleh penyelidik berkenaan berlangsung selama tiga minggu, malah ia bukan suatu tugas mudah dan memerlukan penelitian.

"Dari segi keadaan geografi, tugas ini memang mencabar kerana kami perlu menyusuri Sungai Niah menggunakan bot selama 40 minit untuk tiba ke lokasi. Aktiviti penggalian berlangsung dari jam 10 pagi hingga jam 5 petang.

PERALATAN yang digunakan dalam aktiviti arkeologi di Gua Niah.

"Setiap hasil penemuan didokumentasi dan dibungkus rapi untuk kajian lanjut. Kesemua rekod disimpan dan diklasifikasikan dalam komputer. Inilah rutin kami dari Isnin hingga Khamis sepanjang tiga minggu itu. Pada Sabtu dan Ahad, kami melakukan survei di Gua Niah dan Gunung Subis," katanya.

Selain melakukan kaji selidik, beliau dan Dr Curnoe turut menjalankan program outreach, khusus bagi memberi penerangan kepada pelancong yang berkunjung ke gua berkenaan mengenai aktiviti arkeologi dilakukan mereka.

"Kami turut menemubual, khusus bagi mengumpulkan maklumat berkaitan, terutama dalam kalangan mereka yang pernah menyertai ekspedisi Harrisson selama 13 tahun, yang membawa kepada penemuan Deep Skull," katanya.

ANTARA penemuan di Gua Niah.

Sementara itu, tiada sebarang peralatan canggih digunakan kecuali menggunakan kudrat, selain dibantu kelengkapan asas seperti cangkul, tukul, batang penggali, alat pencungkil dan berus pembersih.

Malah, penggunaan kelengkapan asas itu disifatkan sebagai `satu keindahan' bagi mereka yang terbabit dalam ekspedisi arkeologi.

Mohd Sherman dan Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan serta Timbalan Pengarah Muzium Sarawak, Dr Charles Leh, yang menyertai ekspedisi itu turut berbangga kerana dapat mengulangi pencapaian Bapa Arkeologi Sarawak, Tom Harrisson, yang membuat penemuan bersejarah pada 1958 apabila menemui serpihan tengkorak dan tulang Deep Skull.

"Dalam mana-mana proses eskavasi, bakul penapis turut digunakan untuk memecahkan tanah liat menggunakan tangan. Semuanya menggunakan kudrat. Ia dilakukan mengikut 'spit' tapak eskavasi bagi mencari serpihan artifak.

"Spit adalah nama tapak penggalian pada paras kedalaman antara lima sentimeter hingga 10 sentimeter, malah ada yang lebih dalam dari itu. Ia akan menunjuk stratigrafi tanah (satu cabang ilmu geologi) bagi merekodkan tarikh," katanya.

Setiap penemuan seperti spesimen tulang, batu tembikar atau apa juga artifak berkaitan yang dipercayai memiliki nilai arkeologi akan dimasukkan ke dalam plastik khas kedap udara untuk kajian lanjut.

Penemuan arkeologi terbaru di Gua Traders di Gua Niah, Miri.

"Ia akan dilabel dengan beberapa maklumat seperti kedalaman spit, klasifikasi jumpaan dan tarikh. Untuk tujuan mengikis tanah, kaedah 'trowel arkeologi' akan digunakan, manakala setiap spit akan dilabel dan direkodkan bagi memudahkan rujukan.

"Lampu juga akan dipasang di sekitar spit dan di dalam gua yang gelap bagi mewujudkan pencahayaan ketika proses eskavasi berlaku. Kemudian, semua penemuan ini disimpan berhati-hati dalam kotak sebelum dibawa pulang ke Unit Arkeologi Muzium Sarawak untuk dipersiapkan bagi kajian lanjut menggunakan teknologi terkini," katanya.

INFO

  • Ekspedisi kali ini turut mendapat kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan kakitangan mereka diberikan pendedahan mengenai proses eskavasi berlangsung.
  • Turut terbabit dalam ekspedisi ialah sekumpulan pakar sejarah dan arkeologi dari Universiti New South Wales, Universiti Sri Lanka, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Berita Harian X