Rabu, 10 Januari 2018 | 1:01pm

Pencarum KWSP boleh melantik AmanahRaya

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Januari lalu, ahli pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai pemegang amanah bagi urusan pengagihan simpanan apabila ahli meninggal dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan ARB, Adenan Md Yusof, berkata syarikat itu mengambil inisiatif menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.

"Setiap ahli pencarum KWSP diberi pilihan untuk melantik Amanah Raya sebagai penama, pentadbir atau pemegang amanah kepada wang caruman KWSP bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris apabila ahli meninggal dunia.

"Ini boleh memberi manfaat terutamanya kepada ahli yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan orang kurang upaya. Pilihan ini tambahan kepada hak sedia ada ahli untuk melantik mana-mana individu sebagai penama.

"Pelantikan Amanah Raya sebagai penama atau pemegang amanah yang berkuat kuasa 1 Januari lalu membuktikan bahawa Amanah Raya mampu memberi keyakinan penuh kepada masyarakat," katanya menerusi kenyataan di sini.

PENGARAH Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Adenan Md. Yusof (kiri) membuat pendaftaran Amanah Raya Berhad sebagai penama pentadbir harta bila berlaku kematian kepada pencarum KWSP, - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X