Rabu, 10 Januari 2018 | 3:19pm

Operasi pencarian MH370 disambung


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) bersama timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (dua dari kiri) serta Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (dua dari kanan) menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ocean Infinity Limited, Oliver Plunkett (kanan) bertukar dokumen perjanjian kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity Limited berkaitan pencarian MH370 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Operasi pencarian MH370 akan disambung semula pertengahan bulan ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ia susulan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity Limited, Oliver Plunkett.

Tiong Lai berkata, menerusi perjanjian itu, operasi pencarian MH370 akan dimulakan dalam masa 90 hari bermula pertengahan bulan ini membabitkan 65 kru termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mewakili kerajaan

Malaysia.

"Pencarian merangkumi keluasan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan Ocean Infinity akan menumpukan kepada usaha mengenalpasti lokasi sebenar bangkai pesawat, serpihan besar serta kotak hitam merangkumi Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Pesawat (FDR) di kawasan pencarian baharu ini.

"Pakar menjangkakan menerusi kawasan pencarian baharu serta kelengkapan canggih yang digunakan, terdapat 85 peratus kebarangkalian untuk bangkai pesawat atau serpihan besar serta kotak hitam merangkumi CVR dan FDR dijumpai," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan.

Katanya, perjanjian itu adalah berdasarkan terma 'No Cure, No Fee' (tiada penemuan, tiada bayaran).

"Bayaran adalah tertakluk kepada pembahagian kawasan pencarian di mana bangkai, serpihan besar atau kotak hitam pesawat dijumpai.

"Bagi kawasan pencarian 5,000 km persegi pertama bayarannya adalah RM82 juta; RM122 juta bagi (tambahan 10,000 km persegi bagi kawasan carian kedua); RM204 juta (tambahan 10,000 km persegi bagi kawasan carian ketiga) dan RM285 juta (lebih 25,000 km persegi)," katanya.

Beliau berkata Pasukan Respons MH370, yang diketuai Azharuddin bersama Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara akan memantau operasi pencarian oleh Ocean Infinity menerusi bilik operasi yang ditempatkan di Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Pasukan ini akan turut memberi perkembangan terkini berhubung operasi pencarian kepada waris penumpang dan kru pesawat MH370 melalui emel dan sistem pesanan ringkas selain melalui laman sesawang rasmi http://mh370.gov.my/index.php/en.

"Saya sudah berjumpa dengan waris dan mereka positif dengan misi pencarian baharu ini, dan kita harap ada berita baik untuk misi ini, memandangkan kelengkapan lebih canggih digunakan," katanya.

Dalam pada itu, Oliver berkata pihaknya menjangkakan kapal peneliti dasar laut (Seabed Constructor) yang akan digunakan dalam misi pencarian itu tiba di kawasan pencarian pada 17 Januari ini dan misi pencarian akan dibuat sebaik ia tiba.

"Ia adalah sebuah kapal canggih yang dilengkapi sistem sonar dengan lapan kenderaan dalam air automatik (AUV) yang akan digunakan untuk mengesan bahagian di kawasan pencarian yang tidak boleh dicari menggunakan peralatan lain di atas kapal.

"Dengan penggunaan kelengkapan canggih selain kru berpengalaman dalam pencarian kapal terbang Air France yang terhempas di Lautan Atlantik, kita mempunyai prospek yang realistik untuk menjumpainya," katanya.

569 dibaca
Berita Harian X