Khamis, 11 Januari 2018 | 6:27pm
Naib Presiden, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (BUMITRA), Ayob Mat Aris. - Foto Mokhsin Abidin

Jemaah umrah wanita dijangka meningkat 40 peratus - BUMITRA

KUALA LUMPUR: Jumlah jemaah wanita Malaysia yang mengerjakan umrah dijangka meningkat sehingga 40 peratus susulan keputusan Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) membenarkan wanita berusia 25 tahun dan ke atas masuk ke negara itu menggunakan visa pelancong.

Naib Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) (Haji dan Umrah), Ayob Mat Aris, berkata pihaknya yakin keputusan terbaru SCTH itu akan mendorong lebih ramai wanita negara ini ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.

Katanya, ia berdasarkan kepada petunjuk ekonomi Malaysia dan aliran pelancongan hari ini yang menyaksikan golongan wanita sekitar usia berkenaan dan ke atas mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi untuk mengembara ke luar negara.

"Kami sangat mengalu-alukan keputusan SCTH ini dan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana ia akan memudahkan rakyat kita, terutama wanita berusia 25 tahun dan ke atas melancong atau membuat umrah.

"Keputusan ini memudahkan wanita dalam golongan usia terbabit hendak ke Arab Saudi kerana tidak memerlukan mahram. Kita tahu ada antara mereka yang bujang atau ibu tunggal yang sangat berharap dapat ke Tanah Suci pada usia muda.

"BUMITRA menjangkakan urusan mengelolakan urusan umrah atau melancong ke Arab Saudi meningkat antara 30 hingga 40 peratus, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan syarikat pengelola kembara ke Tanah Suci," katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan keputusan terbaru itu, visa pelancong akan berfungsi sebagai visa masuk tunggal dan ia sah selama 30 hari.

Visa itu merangkumi mereka yang sudah berada di Arab Saudi, termasuk bagi individu yang bekerja, melancong, menunaikan haji dan umrah.

Ayob berkata, peraturan baharu itu juga bakal melegakan syarikat pengelola kembara ke Arab Saudi yang sebelum ini mengharapkan lebih ramai jemaah kali pertama melawat atau mengerjakan umrah.

"Apabila visa haji dan umrah naik kepada RM2,200 (SR2,000) bagi jemaah yang kali kedua, ia mengurangkan kadar kekerapan jemaah kita mengerjakan ibadah, sekali gus mengurangkan kadar perolehan.

"Justeru, apabila peraturan baharu diperkenalkan, ia bakal menyaksikan pertambahan jumlah jemaah atau pelancong kali pertama, terutama golongan wanita ke Arab Saudi, yang akan membantu dari segi pendapatan syarikat," katanya.

2077 dibaca
Berita Harian X