Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:30am
MANGSA banjir, Ahmad Zaini Kechik secara sukarela berkhidmat memindahkan mangsa banjir untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, Pekan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Mangsa banjir Pekan meningkat

KUANTAN: Mangsa banjir di Pekan dan Rompin meningkat kepada 697 orang daripada 177 keluarga di sembilan pusat pemindahan hingga jam 2.30 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata seramai 119 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di dua pusat.

Beliau berkata, 63 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek dan 55 mangsa daripada 16 keluarga lagi di Dewan Orang Ramai Leban Chondong (55 orang).

"Mangsa banjir di Pekan turut meningkat kepada 579 orang daripada 147 keluarga berikutan hujan berterusan sejak semalam," katanya di sini, hari ini.

Katanya, semua mangsa di Pekan ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, iaitu 249 mangsa di Sekolah Sinar Mutiara, Sungai Miang; SK Temai (93 orang, 76 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya; Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang); Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang), Kampung Lamir (38 orang,) SK Acheh (sembilan orang).

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 2 petang, bacaan paras air di tiga sungai di negeri ini melepasi tahap amaran atau jingga yang boleh menyebabkan kawasan sekitar dinaiki air.

Tiga sungai berkenaan ialah Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dengan bacaan 10.03 meter (10.30 meter paras bahaya), Sungai Lipis di Batu Malim, Lipis 114.25 meter (114.80 meter paras bahaya) dan Sungai Belat di Seri Damai di sini 4.13 (5.00 meter paras bahaya).

1611 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »