Jumaat, 12 Januari 2018 | 5:54pm
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Yazit Razali

CCTV hanya di sekolah ada masalah disiplin

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada sebarang halangan untuk meneruskan cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, khususnya membabitkan sekolah yang dikesan berisiko dengan kes disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata untuk itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menentukan sekolah di negeri masing-masing yang akan dilengkapi CCTV itu berdasarkan kepada rekod serta kedudukan disiplin.

"Saya ingat (pemasangan CCTV di sekolah) ini satu daripada benda yang tidak boleh kita elak lagi, terutama di zaman digital dan ia suatu keperluan.

"Kalau dulu orang kata pakai telefon bimbit itu mewah, tetapi sekarang semua ada dan ia satu keperluan, begitu juga CCTV.

"Jadi kita tak ada masalah dengan cadangan pemasangan CCTV di sekolah seperti dicadangkan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ziarah kasih di Kampung Perik, di sini, hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini menyambut baik usaha memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, namun berharap tindakan itu tidak sehingga mengganggu privasi pelajar dan guru.

Mengenai garis panduan pemasangan CCTV, Mahdzir mengakui tidak semua tempat di dalam sekolah dilengkapi kemudahan itu untuk mengelak isu gangguan privasi, sebaliknya akan dipasang di tempat tertentu sahaja.

"Sekolah pun kita tengok, tak semua kena pasang. Kalau sekolah itu sudah 35 tahun tak ada masalah disiplin, maka tak perlulah (pasang CCTV).

"Apa pun JPN akan tentukan (sekolah mana akan dipasang CCTV)," katanya.

Mengenai kos untuk tujuan itu, beliau berkata di sekolah ada peruntukan khusus untuk kawalan keselamatan dan ia boleh diperhalusi bagaimana pemasangan CCTV boleh dimanfaatkan tanpa perlu dikeluarkan bajet baharu.

239 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »