Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:10pm
HAMZAH (empat dari kanan) menyampaikan Bantuan Persekolahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi Parlimen Larut 2018 di SMK Dato Haji Hussein di Selama, hari ini. - Foto Nor Raidah Awang

3 pengilang minyak masak dalam perhatian

SELAMA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenal pasti tiga pengilang yang dikatakan terbabit penyelewengan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata komplot yang membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit itu mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

"Siasatan pihak kami hampir selesai dan pengilang berkenaan didapati menjurus ke arah melakukan kesalahan itu.

"Minyak masak paket yang masih bersubsidi dan lebih murah berbanding di negara jiran, menjadi pendorong pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang itu mengaut keuntungan secara senyap," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi Parlimen Larut 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Hussein di sini, hari ini.

Hamzah berkata, pihak berkenaan perlu sedar tindakan menjual minyak masak bersubsidi ke luar negara sama seperti tidak menjaga maruah sendiri.

"Kita kena sedar bahawa harga minyak yang murah itu disebabkan subsidi kerajaan, maka sebab itu saya minta kepada semua rakyat yang ada kita bekerja sama, jangan kita benarkan sesiapa menjual minyak yang kita menanggung (subsidi) berbilion ringgit setiap tahun," katanya.

Hamzah berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, lebih 10 pengilang yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu telah berdepan tindakan undang-undang dan lesen pengilang ditarik balik.

"Saya minta pengguna yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan minyak masak, sama ada bekalan yang disorok mahupun diseludup masuk ke negara jiran, hubungi KPDKKK," katanya.

430 dibaca
Berita Harian X