Ahad, 14 Januari 2018 | 12:01am
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultan Kedah dahului senarai penerima darjah kebesaran

KUALA PILAH: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, mendahului senarai 693 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-70 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Sultan Kedah dianugerahkan Darjah Kerabat Negeri Sembilan, darjah kebesaran tertinggi dianugerahkan kepada Raja atau Raja Permaisuri yang memerintah, pada istiadat pengurniaan di Istana Besar, Seri Menanti, di sini.

Anakanda Tuanku Muhriz, Tunku Zain Al-Abidin, pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Awaludin Said dan Aktivis Keamanan Dunia, Datuk Dr Ronald Stephen Mccoy, menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai tujuh orang menerima Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Abu Samah Mahat; Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Abu Bakar Jais.

Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Johani Hassan; Pakar Perunding Perubatan Hospital Assunta, Dr Suresh Raj Lachmanan serta ahli perniagaan, Hamie Appala Nakkiah; Lim Hoe dan Mohd Azzarain Abdul Aziz.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Faizah Jamaludin, pula penerima tunggal Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 25 orang, antaranya Pegawai Kemajuan Negeri Sembilan, Ali Luman; Pengurus Besar, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Baharudin Jali.

Penerima DBNS lain ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamal Amran Kamarudin; Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Nasarudin Malek; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Panglima 1 Briged, Brig Jen Reduan Omar; Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Roshada Hashim; Pengerusi Persatuan India Muslim Negeri Sembilan, Syed Mohd Ali Syed Mohamed dan Pegawai Daerah Jempol, Zazali Salehudin.

Selain itu, seramai 31 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan; Darjah Tuanku Muhriz (dua); Darjah Pekerti Terpilih (18); Ahli Setia Negeri Sembilan (109); Setiawan Tuanku Muhriz (satu); Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (173); Pingat Jasa Kebaktian (291); Pingat Khidmat Lama (16) dan Bentara Tuanku Muhriz (15).

4932 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »